PUTRAJAYA, 20 Dis – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan, pengambilan vaksin COVID-19 pada masa ini adalah secara sukarela.
Bagaimanapun, KKM menggalakkan pengambilan vaksin COVID-19 terutama kepada golongan berisiko tinggi seperti warga emas atau individu yang mempunyai komorbiditi.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sehingga hari ini, terdapat 234 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Klinik Kesihatan seluruh negara.
“Bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, orang ramai boleh hadir ke PPV yang tersenarai secara ‘walk-in’ atau membuat temujanji menggunakan aplikasi My Sejahtera,”
“Sebarang janji temu juga boleh dilakukan menerusi aplikasi MySejahtera sebagaimana tatacara tempahan yang dibuat semasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, vaksin COVID-19 yang tersedia di negara ini berkesan untuk melindungi daripada komplikasi yang teruk sekiranya dijangkiti.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyarankan setiap warga Malaysia memainkan peranan dan tanggungjawab untuk melindungi diri daripada jangkitan dan tidak menularkan COVID-19 kepada orang lain.
“Setiap rakyat dinasihatkan untuk mengamalkan 3W iaitu Wash, Wear dan Warn dan mengelakkan 3S (elekkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat),” ujarnya lagi.-airtimes.my
#airtimes #COVID19 #Malaysia #KKM #semasa
