Home Semasa 5 rakyat Malaysia berada di Tebing Barat – Wisma Putra

5 rakyat Malaysia berada di Tebing Barat – Wisma Putra

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 11 OKT – Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) mengesahkan seramai 5 orang rakyat Malaysia yang terdiri daripada seorang wanita dewasa dan seorang ibu bersama 3 anaknya berada di Tebing Barat ketika ini.

Menurut Wisma Putra, Kedutaan Besar Malaysia di Amman sentiasa berhubung dengan mereka.

“Kementerian Luar menasihatkan pihak yang ingin melakukan perjalanan ke kawasan konflik Palestin-Israel supaya menangguhkan perancangan mereka berikutan keadaan keselamatan yang masih meruncing berikutan pertempuran antara kedua-dua pihak,

“Badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang masih berhasrat untuk ke kawasan berkenaan dinasihatkan untuk merujuk perancangan mereka kepada kementerian ini terlebih dulu,” kata Wisma Putra dalam kenyataan hari ini.

Wisma Putra turut menasihatkan mana-mana pihak atau warganegara Malaysia yang mempunyai maklumat keberadaan saudara-mara atau kenalan yang masih berada di kawasan konflik untuk berhubung dengan kementerian bagi membolehkan bantuan dihulurkan sekiranya perlu.

Dalam pada itu, Wisma Putra berkata, Malaysia sangat kesal dengan peningkatan jumlah korban dan kecederaan orang awam dan kemusnahan berikutan pertempuran yang berlarutan sejak 7 Oktober lalu.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel mengebom secara keterlaluan dan sewenang-wenangnya kawasan-kawasan awam di samping tindakan rejim menyekat bekalan asas air, elektrik dan makanan,” jelas kenyataan itu.

Dalam masa yang sama, Wisma Putra menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong dan menyambut baik ketetapan sebulat suara Dewan Rakyat pada Isnin mengenai Palestin termasuk gesaan supaya Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan masyarakat antarabangsa memberi tekanan bagi menghentikan segala pertempuran.

“Dalam konteks ini, Malaysia turut kesal dengan kegagalan UNSC mencapai persetujuan dalam perkara ini,” jelas Wisma Putra lagi.

Mengambil kira situasi kritikal pada masa ini, jelasnya, masyarakat antarabangsa perlu menyalurkan segera bantuan kemanusiaan seperti bekalan asas dan perubatan, sambil menambah rejim Israel tidak berhak untuk menyekat saluran bantuan kemanusiaan.

“Sebagai langkah awal, Wisma Putra dalam proses untuk menyalurkan RM1 juta untuk sumbangan kemanusiaan awal dengan segera melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin.

“Orang awam, agensi dan pertubuhan yang ingin menyumbang melalui AAKRP boleh berbuat demikian di pautan https://forms.gle/PQiA5weQESnCB8pC8,” ujarnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply