Home Semasa #Semasa: Peta Standard China 2023 tidak diiktiraf, tidak mengikat Malaysia – Wisma Putra

#Semasa: Peta Standard China 2023 tidak diiktiraf, tidak mengikat Malaysia – Wisma Putra

by M.Daim

PUTRAJAYA, 30 OGOS – Pihak Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) hari ini menegaskan Malaysia menolak dan tidak mengiktiraf Peta Standard China  Edisi 2023 yang dikeluarkan baru-baru ini.

Menurutnya, Malaysia secara konsisten menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa mana-mana pihak asing ke atas fitur maritim atau kawasan maritim negara berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.

“Dalam konteks ini, Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan, seperti yang

digariskan dalam Peta Standard China Edisi 2023 yang meliputi kawasan maritim negara,

“Peta tersebut sama sekali tidak mengikat Malaysia,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Tambahnya, peta itu menunjukkan tuntutan maritim sepihak (unilateral act) China yang melangkau kawasan maritim Malaysia di Sabah dan Sarawak berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.

Kenyataan tersebut mengulas penerbitan Peta Standard China Edisi 2023 yang dikeluarkan oleh negara itu baru-baru ini.

Peta yang dikeluarkan oleh kerajaan China telah menggariskan beberapa fitur maritim negara termasuk Beting Serupai (James Shoal), Beting Patinggi Ali (South Luconia Shoals) dan Beting Raja Jarum (North Luconia Shoals) sebagai sebahagian daripada wilayah negara itu.

Ketiga-ketiga beting itu merupakan antara kawasan yang dituntut oleh China sebagai wilayah mereka melalui tuntutan 9-dash line, yang turut disebut sebagai 10-dash line sekiranya merangkumi tuntutan negara itu terhadap Taiwan.

Kesemua beting tersebut merupakan sebahagian daripada fitur maritim negara di dalam perairan Sarawak.

Tuntutan 9-dash line oleh Beijing sebelum ini tidak diiktiraf oleh tribunal antarabangsa melalui keputusan perbicaraan pada tahun 2016 di antara China dan Filipina.

Tribunal berdaftar dengan Mahkamah Tetap Timbang Tara yang ditubuhkan mengikut lunas UNCLOS itu telah menyatakan 9-dash line yang digariskan oleh China adalah sebagai tidak sah dan melanggar undang-undang antarabangsa.

Tuntutan 9-dash line oleh Beijing merangkumi sebahagian besar kawasan perairan Laut China Selatan termasuk kawasan Spratlys dan Paracel.

Dalam kenyataan yang sama, Wisma Putra menyatakan Malaysia berpandangan bahawa isu Laut China Selatan merupakan isu yang kompleks dan sensitif.

“Isu ini perlu dikendalikan secara aman dan rasional melalui dialog dan rundingan berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS 1982),

“Malaysia komited untuk terus bekerjasama bagi memastikan semua pihak melaksanakan Deklarasi Tatalaku Pihak–pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea – DOC) secara menyeluruh dan efektif,

“Malaysia juga komited terhadap proses rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (Code of Conduct in the South China Sea – COC) yang efektif dan substantif, serta terhadap sasaran untuk memuktamadkan COC seawal mungkin,” kata kenyataan itu. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply