[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=tBDXnYF9_pw[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Rata-rata pengundi belia meluahkan rasa teruja apabila berpeluang buat kali pertama menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk di pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Selayang Baru.
Bagi salah seorang pengundi, Nur Laili Zahra Zurdi, 22, beliau mengakui pengalaman mengundi kali pertama adalah sesuatu yang mendebarkan kerana menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia dalam menentukan masa depan kerajaan negerinya.
“Hari ini saya rasa sangat gemuruh dan pada mulanya rasa tidak tahu hendak buat apa,
“Tadi masuk sini (saluran mengundi) pun, macam kelam kabut sedikit sebab sebelum ini tidak dapat mengundi kerana sedang belajar di Politeknik Mersing, Johor dan tidak dapat balik mengundi,
“Walaupun dapat cuti 4 hari dari pihak kolej, saya tidak dapat beli tiket bas sebab sudah kehabisan tiket, jadi tidak dapat mengundi,
“Jadi kali ini punya mengundi ada perasaan gemuruh, dalam masa yang sama teruja sebab kali pertama mengundi,” jelasnya kepada Air Times di pusat membuang undi di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Selayang Baru, hari ini.
Dalam masa yang sama, Laili turut berharap pemimpin yang menang di kawasannya akan menunaikan segala manifesto yang dijanjikan.
“Saya berharap calon yang menang dapat menjalankan manifesto yang dijanjikan dengan baik untuk membantu penduduk setempat dan tidak memungkiri janji
“Tidak kisah siapa yang menang. Janji mereka jalankan tanggungjawab dengan baik dan dapat laksana manifesto mereka,” ujarnya lagi.
Mengikut Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bilangan pengundi muda berumur 18 hingga 20 tahun di Selangor sebanyak 274,194 orang direkodkan paling ramai berbanding di negeri lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Sementara itu, kumpulan pengundi muda bagi had umur itu kedua tertinggi ialah di Kedah iaitu 104,284 pengundi, Kelantan (96,513), Pulau Pinang (67,633), Terengganu (64,264), manakala Negeri Sembilan (55,017).
Ini menjadikan jumlah keseluruhan pengundi kumpulan itu seramai 661,905 orang. -airtimes.my