Home Semasa #Semasa: Kerajaan Perpaduan hormat suara rakyat, tekad kerja lebih keras demi negara – Anwar

#Semasa: Kerajaan Perpaduan hormat suara rakyat, tekad kerja lebih keras demi negara – Anwar

by Bernama

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Kerajaan Perpaduan bertekad untuk bekerja keras dan lebih tekun berkhidmat untuk memenuhi keperluan rakyat, sebagaimana yang diterjemahkan menerusi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan pimpinannya akan terus kekal dan kukuh, seiring hasrat membangun Malaysia MADANI dan Dasar Ekonomi MADANI.

“Insya-Allah, hari Isnin kita akan terus bertugas bukan sahaja seperti biasa tetapi lebih tekun dan keras bekerja supaya Malaysia mencapai kejayaan yang membanggakan,” kata Anwar pada sidang media selepas pengumuman rasmi keputusan pilihan raya berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan tertinggi parti Kerajaan Perpaduan.

Pada masa sama, Anwar berkata kerajaan menghormati keputusan PRN di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) mengekalkan kemenangan di negeri itu. -Bernama

Related Articles

Leave a Reply