[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=4sAq3QSk_Vs[/embedyt]
SELAYANG, 12 Ogos – Meskipun pergerakan terbatas dan terpaksa berkerusi roda, ia tidak menjadi alasan sekali gus bukan penghalang kepadanya untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Abdul Kahar Nordin, 59 berkata, walaupun berhadapan dengan kekangan kesihatan akibat penyakit buah pinggang, beliau tetap bersemangat untuk turut mengundi bagi memilih pemimpin Dewan Undangan Negeri (DUN) N15 Taman Templer.
“Pada tahun ini saya datang untuk mengundi dengan berkerusi roda akibat penyakit buah pinggang sejak awal tahun lalu,
“Saya pilih untuk datang awal kerana selepas menjalani dialisis di Pusat Hemodialisis MAIWP-PICOMS saya bimbang kalau pergi lewat akan berasa kepenatan akibat dialisis,
“Lepas dialisis, nak jalan pun tak larat, sebab itu saya datang awal pagi sebelum dialisis. Selepas ini saya akan pergi jalani dialisis,” jelasnya kepada Air Times di pusat membuang undi di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Selayang Baru, hari ini.
Bekas tenaga pengajar di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ini turut memaklumkan, perjalanan proses pengundian pada hari ini berjalan dengan lancar dan teratur dengan adanya petugas-petugas dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memberi bantuan.
“Proses pengundian sangat lancar dan mungkin kerana saya datang awal pagi jadi masih tidak ramai yang hadir mengundi,
“Tapi bagi saya proses pengundian berjalan dengan baik dan lancar. Ada petugas-petugas yang membantu kami sampai ke bilik saluran untuk membuang undi,” jelasnya lagi.
Dalam masa yang sama, beliau yang hadir bersama isterinya, turut menyeru kepada para pengundi untuk mengundi calon yang layak dan mampu menjalankan tanggungjawab dengan sejujurnya.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti menunaikan tanggungjawab dengan keluar mengundi dan pilih calon yang terbaik,
“Diharap pemimpin yang menang nanti dapat membantu rakyat di kawasan DUN masing-masing,” ujarnya lagi.-airtimes.my