Home Semasa #Semasa: Dewan Rakyat maklum kekosongan kerusi Parlimen Pulai

#Semasa: Dewan Rakyat maklum kekosongan kerusi Parlimen Pulai

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Jul – Dewan Rakyat hari ini mengemukakan pemberitahuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P161 Pulai, susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, selaras Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, pihak SPR hendaklah mengisi kekosongan kerusi itu dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan suruhanjaya tersebut bahawa ada kekosongan.

“Saya selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah mengemukakan suatu pemberitahuan bertarikh 25 Julai kepada pengerusi SPR bahawa Datuk Seri Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Pulai, Johor, telah meninggal dunia pada hari Ahad 23 Julai 2023,

“Oleh yang demikian seleras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan pihak SPR hendaklah mengisi kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P161 Pulai, Johor dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh SPR bahawa ada kekosongan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Pulai itu telah dikejarkan ke hospital di Alor Setar pada Jumaat sebelum menjalani pembedahan kecemasan dan sejak itu diletakkan bawah pemantauan Unit Rawatan Rapi (ICU).

Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia akibat pendarahan otak di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah, malam Ahad lalu.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sulong Kampung Serkat di Pontian, Johor, pagi tadi.

Mengulas lanjut, bagi pihak Parlimen Malaysia, Johari turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply