Home Semasa #Semasa: Kemenangan tuntutan Sulu cukup bermakna – Ahmad Zahid

#Semasa: Kemenangan tuntutan Sulu cukup bermakna – Ahmad Zahid

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan di mahkamah antarabangsa dalam kes tuntutan kumpulan Sulu terhadap Malaysia menjadi kejayaan cukup bermakna dan penting untuk negara.

Menerusi catatan yang dimuat naik melalui laman Facebook beliau hari ini, Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat sehingga kerajaan berjaya mempertahankan hak serta kedaulatan negara.

“Tahniah kepada pasukan Malaysia diketuai pengerusinya (Pengerusi Sekretariat Khas yang juga Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said yang bertungkus-lumus memastikan kedaulatan Malaysia terus terpelihara,

“Kerajaan Malaysia tidak pernah berhenti dalam usaha untuk melindungi kedaulatan, keselamatan negara dan kepentingan negara,

“Kes Sulu ini membuktikan bahawa terdapat pencabulan yang nyata terhadap kekebalan kedaulatan Malaysia yang merupakan suatu perkara penting bagi setiap warganegara Malaysia Madani,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan award akhir timbang tara sebanyak US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) di negara itu.

Award itu diberikan oleh penimbang tara antarabangsa Dr Gonzalo Stampa pada 28 Feb 2022 kepada 8 individu yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu.

Dalam usaha mereka untuk menguatkuasakan award itu, kumpulan Sulu terbabit dilaporkan cuba menyita aset Petronas di Luxembourg dan Belanda selain menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis (termasuk sebahagian daripada kedutaannya di negara itu).

Sebelum itu, pada 6 Jun lepas, Malaysia melakar sejarah selepas Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar award yang diputuskan oleh Stampa dan memutuskan Stampa telah terkhilaf dalam melaksanakan bidang kuasanya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply