Home Semasa #Semasa: Kubur Wang Kelian: 4 warga Thailand dihadapkan ke mahkamah

#Semasa: Kubur Wang Kelian: 4 warga Thailand dihadapkan ke mahkamah

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Seramai 4 individu warga Thailand akan dihadapakan ke Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis hari ini berhubung penemuan kem dan kubur di Wang Kelian pada Mei 2025.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keempat-empat mereka antara 10 individu yang berjaya dikesan hasil permintaan kerajaan Malaysia ketika mengemukakan ekstradisi kepada kerajaan Thailand pada 6 Januari 2017.

“Sepanjang tempoh lebih 6 tahun ini, Kerajaan Malaysia dan Thailand berusaha mengesan semua individu itu bagi melaksanakan proses ekstradisi,

“Hasil kerjasama baik antara kedua-dua negara, 4 daripada 10 individu berkenaan berjaya dikesan dan dihadapkan ke mahkamah Thailand bagi tujuan ekstradisi,

“Kes ekstradisi ini berjalan di pelbagai peringkat mahkamah di Thailand dan Mahkamah Rayuan Thailand pada 30 Mac lalu sebelum akhirnya perintah penahanan ke atas keempat-empat individu itu dikeluarkan untuk diserahkan kepada Malaysia,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Menurut Saifuddin, berdasarkan perintah Mahkamah Rayuan Thailand, penyerahan keempat-empat individu terbabit dilaksanakan, semalam (22 Jun 2023).

“Kesemua individu terbabit sudah berada di Malaysia dan akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis esok (23 Jun 2023) bagi tujuan pertuduhan,” ujarnya lagi.

Saifuddin berkata, Kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Thailand dan semua pihak yang terbabit dalam memastikan proses ekstradisi bagi kes Wang Kelian berjalan lancar.

“Kerajaan Malaysia juga berharap kerjasama ini dapat diteruskan bagi menjejaki individu-individu lain yang terbabit untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

“KDN sentiasa komited dalam menjaga keselamatan sempadan negara dan memandang serius isu-isu jenayah rentas sempadan khususnya jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran.

“Usaha berterusan melalui operasi bersepadu oleh agensi-agensi penguatkuasaan sentiasa dititikberatkan demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.

Pada Mei 2015, Malaysia dikejutkan dengan penemuan kem dan kubur di Wang Kelian yang menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat dari dalam dan luar negara.

Susulan kejadian tersebut, beliau berkata, Kerajaan Malaysia dan Thailand sudah menjalankan siasatan untuk mengesan serta mengenal pasti pihak bertanggungjawab dalam kes itu. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply