Home Semasa Lebih 60,000 individu termasuk 4 ahli kimia ditahan terlibat kes dadah – PDRM

Lebih 60,000 individu termasuk 4 ahli kimia ditahan terlibat kes dadah – PDRM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Lebih 60,000 individu telah ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di atas pelbagai kesalahan dadah dan racun menerusi pelbagai siri operasi di seluruh negara sejak awal tahun 2023.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman memaklumkan, tindakan diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah 1983.

“JSJN berjaya menangkap seramai 62,132 orang di atas pelbagai kesalahan dan daripada jumlah itu, 128 individu ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985,

“Sebanyak 118 sindiket yang melibatkan 366 orang berjaya diberkas serta 4 buah makmal dadah haram berjaya dibongkar dengan 4 tangkapan ke atas ahli kimia,” jelasnya menerusi satu kenyataan di Facebook rasmi JSJN pada Khamis.

Menurut JSJN, pihaknya telah merampas 7,917 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah dan 1,379 liter pelbagai jenis cecair dadah.

“JSJN turut merampas sebanyak 31,856 kg daun ketum, 21,243 liter air ketum serta lapan batang pokok ganja yang membawa nilai rampasan keseluruhan bernilai RM213 juta,” tambah kenyataan itu lagi.

JSJN turut memaklumkan, seramai 2,669 penagih dadah tegar yang mempunyai rekod kesalahan dadah berulang di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 telah dituduh di bawah Seksyen 39C ADB 1952.

Tambahnya, daripada jumlah tersebut seramai 1,533 individu telah disabitkan kesalahan di bawah seksyen yang sama.

Selain itu, JSJN menegaskan, bahawa tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

“Seramai 188 penjawat awam telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah di mana 4 daripadanya ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985,” jelasnya.

Sepanjang tempoh itu juga, jelas kenyataan itu, sebanyak 25,331 kertas siasatan dibuka dan daripada jumlah tersebut sebanyak 22,753 kertas siasatan berjaya dituduh dengan peratus pertuduhan adalah 89.82 peratus.

“Bagi melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di Malaysia, pelbagai aset sindiket bernilai RM32.8 juta disita manakala sebanyak RM2.7 juta nilai harta telah dilucuthak,” ujarnya lagi.

Jelas JSJN, pihaknya menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah untuk salurkan ke Hotline JSJN di talian 012-208 7222. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply