JOHOR BAHRU, 5 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memohon bantuan pihak Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) dari Indonesia untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) 3 kru kapal tangki MT Pablo yang hilang selepas kapal itu terbakar pada Isnin lepas.
Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama (Maritim) Nurul Hizam Zakaria berkata, simulasi yang dilakukan menggunakan Sistem Perancangan Optimum Mencari dan Menyelamat menunjukkan ketiga-tiga mereka mungkin hanyut ke perairan Tanjung Pinang di Indonesia.
“Pusat Kecil Penyelamat Maritim Johor Bharu telah meminta Pusat Penyelarasan Menyelamat Maritim di Putrajaya untuk mendapatkan bantuan BASARNAS,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, setakat ini pencarian dalam kapal tangki itu belum dimulakan berikutan penilaian masih menunjukkan keadaan kapal tidak selamat untuk Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memulakan operasi pencarian.
Bagaimanapun beliau berkata, kapal KD Pendekar milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selaku Penyelaras di Tempat Kejadian (OSC) dan kapal MV Polaris dari Jabatan Laut Malaysia telah melakukan usaha semburan air di bahagian badan kapal tangki terbabit.
Nurul Hizam berkata, pada masa sama usaha pencarian di laut turut dibantu sebuah bot ronda Pasukan Polis Marin dan dua bot ronda milik APMM dengan keluasan sektor pencarian adalah 393 batu nautika persegi.
3 kru kapal MT Pablo yang masih hilang adalah Satyam Tripathi, 26 dan Dinesh Kumar Chauhan, 34 masing-masing merupakan warganegara India dan Sabit Shenderovsky, 37 warganegara Ukraine. -airtimes.