Home Semasa Anggota polis seludup mercun berdepan tindakan tegas – Acryl Sani

Anggota polis seludup mercun berdepan tindakan tegas – Acryl Sani

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 7 Apr – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan tegas menafikan mendalangi kegiatan penyeludupan mercun susulan seorang anggota polis ditahan di Machang, Kelantan pada Selasa lalu.

Anggota polis terbabit ditahan kerana terbabit dalam aktiviti pengedaran mercun dengan menggunakan kenderaan agensi penguatkuasaan berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kes berkenaan telah diambil tindakan di mana suspek seorang anggota polis ditahan bersama seorang lelaki orang awam kerana terbabit pengedaran mercun.

“Selain siasatan jenayah, PDRM juga akan mengambil tindakan dalaman ke atas suspek anggota polis berkenaan yang didapati menyalahgunakan kenderaan pasukan di luar waktu bertugas bagi menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang,

“PDRM tidak pernah berkompromi dengan mana-mana warga polis yang terlibat dengan kegiatan jenayah dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya menerima bukti sebarang perlakuan demikian,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam masa yang sama, Acryl juga mengalu-alukan masyarakat untuk menyalurkan maklumat sahih bagi membolehkan tindakan diambil dalam membanteras sebarang salah laku atau aktiviti menyalahi undang-undang.

Terdahulu, media melaporkan seorang anggota polis dan rakannya ditahan ketika membawa 15 kotak dan 12 guni pelbagai jenis mercun serta bunga api bernilai RM25,000 dengan menggunakan kenderaan pacuan 4 roda PDRM pada 4 April lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek berusia 32 dan 35 tahun itu ditahan sepasukan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8), Pengkalan Chepa kira-kira jam 7.45 malam selepas kenderaan terbabit didapati dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, semakan mendapati seorang daripada suspek adalah anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, Terengganu manakala suspek awam adalah seorang mekanik serta mempunyai 5 rekod lampau berkaitan dadah.

Kedua-dua suspek kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply