Home Diskusi Kolumnis: Mungkinkah keupayaan LCS senasib NGPV?

Kolumnis: Mungkinkah keupayaan LCS senasib NGPV?

by Zaki Salleh

Komitmen kerajaan baharu untuk tetap menyelesaikan projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) memberi kelegaan kepada umum bahawa perolehanan pertahanan tersebut tidak dipinggirkan.

Isu LCS ini terkandung dalam enam perkara teras Kementerian Pertahanan (MINDEF) iaitu dalam aspek peningkatan kesiagaan dan keupayaan pertahanan negara.

Enam teras ini dibentangkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Majlis Amanat Tahun Baharu Menteri Pertahanan di Auditorium Wisma Pertahanan pada Januari lalu.

Antaranya ialah meneruskan usaha bagi merealisasikan penyiapan projek pembinaan kapal Second Generation Patrol Vessel berkeupayaan LCS untuk TLDM demi mengukuhkan pertahanan dan perairan negara.

Jelas Mohamad, usaha itu turut membabitkan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Katanya lagi, sekurang-kurangnya empat daripada enam buah LCS yang dirancang ini dapat disiapkan dengan kapal pertama siap dalam tempoh 14 bulan selepas fasa mobilisasi itu selesai.

Disebabkan tiada penjelasan terperinci berhubung program mobilisasi ini, maka timbul persoalan pada tanggapan umum berhubung kenyataan Menteri Pertahanan tersebut tentang klasifikasi kapal.

Ini kerana apabila beliau menyebut kapal Second Generation Patrol Vessel (SGPV) berkeupayaan LCS untuk TLDM, ia telah menimbulkan spekulasi apakah berlaku perubahan pada binaan akhir kapal-kapal ini?

Sepanjang program LCS bermula, Mindef khususnya TLDM tidak pernah menggunakan istilah SGPV kepada LCS yang sebenarnya sebuah kapal tempur atau frigat.

SGPV merujuk kepada istilah bagi kapal peronda berciri halimunan seperti frigat yang dirancang untuk TLDM sebagai kesinambungan projek kapal peronda generasi baharu (NGPV) sebelumnya.

Difahamkan, program SGPV pernah dikemukakan pihak industri kepada Mindef pada tahun 2018 sebagai tambahan kepada kapal-kapal NGPV tetapi tiada kemajuan mengenainya.

Rekaan LCS adlah berdasarkan Gowind 2500.

Sepertimana diketahui, LCS iaitu kapal perang kelas Maharaja Lela ini dibina mengikut rekaan korvet Gowind 2500 yang memiliki keupayaan peperangan empat dimensi serta dilengkapi sistem pengurusan peperangan terkini.

Jika merujuk pada diagram jenis-jenis kapal bagi program transformasi armada TLDM 15 to 5 juga tiada kapal SGPV melainkan NGPV, LCS, MRSS, LMS dan kapal selam.

Apabila disebut SGPV, adakah ia membawa maksud bahawa kapal LCS yang hendak disiapkan ini adalah versi ‘downgrade’ atau dalam bahasa mudahnya, turun taraf?

Mungkin juga LCS ini nanti berkonsep ‘fitted for but not with’ (FFBNW) atau dalam bahasa Melayunya, dibina untuk dipasang senjata canggih tetapi senjatanya belum dipasang.

Persenjataan pada LCS adalah meriam kaliber 57mm, sistem pertahanan udara MBDA VL MICA, misil antikapal Korngsberg NSM, dua pelancar torpedo dan dua meriam MSI 30mm.

Konsep FFBNW pula bukanlah asing bagi TLDM kerana ia telah diguna semasa pembinaan enam buah kapal peronda generasi baru (NGPV).

Projek NGPV dimulakan pada tahun 1998 apabila kerajaan memberi kontrak pembinaan untuk 27 buah kapal dengan anggaran bajet sebanyak RM30 bilion kepada PSC-Naval Dockyard.

Fasa pertama melibatkan pembinaan enam kapal dengan kos RM6 bilion, namun kontrak ini gagal dan tiada satu kapal pun diserahkan oleh PSC-Naval Dockyard sehingga Jun 2005.

Kerajaan melalui syarikat Boustead milik LTAT terpaksa menyelamatkan projek itu dengan membeli kepentingan saham majoriti dalam syarikat PSC-Naval Dockyard pada Disember 2005.

Syarikat itu dijenamakan semula menjadi  Boustead Naval Dockyard Sdn. Bhd. dan projek NGPV berjaya disiapkan.

Mengikut perancangan, kapal-kapal NGPV sepatutnya dipasang dengan peluru berpandu antikapal MM40 Block II Exocet dan RIM-116 Rolling Airframe Missile.

Sebaliknya, NGPV cuma mempunyai selaras meriam Oto Melara kaliber 76mm dan Breda Mauser 30mm.

Misil anti permukaan NSM keluaran syarikate pertahanan Kongsberg dipilih sebagai salah satu taring kapal LCS.

Walaupun NGPV mempunyai dek pendaratan dan hangar helikopter tetapi tiada perolehan pesawat baharu dibuat bagi dioperasikan bersama disebabkan faktor kos.

Dikatakan konsep FFBNW terpaksa dipilih agar  projek NGPV yang mengalami kelewatan dapat disiapkan kerajaan mengikut peruntukan kewangan yang ada.

Menerusi konsep ini kapal dibina secara modular dengan ciri-ciri mempunyai ruang untuk dipasang sebarang kelengkapan atau persenjataan yang sememangnya untuk kapal pada masa hadapan.

Konsep ini disifatkan ekonomi kerana dapat meminimumkan kos pembinaan kapal apabila banyak kelengkapan tidak perlu dipasang dahulu tetapi kapal masih dapat disiapkan.

Ini juga dapat mengurangkan kos penyelenggaraan kapal apabila tidak banyak subsistem kecuali kelengkapan asas sahaja dengan persenjataan yang minima.

Kelebihan konsep FFBNW ini pula ialah kapal boleh dilengkapkan dengan persenjataan berteknologi terkini apabila dirasakan perlu atau kewangan negara mengizinkan.

Sekiranya konsep FFBNW dipilih, walaupun tanpa persenjataan ampuh LCS masih boleh beroperasi di perairan terbuka seperti Laut China Selatan kerana struktur kerangkanya dibina sedemikian.

Ini berbeza dengan kapal peronda biasa yang bersaiz kecil atau bukan bersaiz seperti LCS/frigat.

Cuma, tanpa sistem pertahanan udara, peluru berpandu antikapal atau torpedo LCS umpama kapal peronda besar tetapi tiada bisa.

Bagaimana pun, ciri-ciri sebenar LCS yang hendak disiapkan nanti hanya akan ditentukan kerajaan apabila fasa mobilisasi dimuktamadkan.

Related Articles

Leave a Reply