Home Semasa Kepentingan negara paling utama, jawatan Jemaah Menteri soal kedua – Guan Eng

Kepentingan negara paling utama, jawatan Jemaah Menteri soal kedua – Guan Eng

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menjelaskan, pelantikanya dalam barisan Jemaah Menteri adalah perkara kedua dan menegaskan kepentingan negara di masa hadapan menjadi keutamaan.

Guan Eng menerusi satu hantaran di media sosialnya berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia adalah prerogatif Perdana Menteri untuk memutuskan pelantikan ahli Kabinet tersebut.

“Saya telah ditanya berulang kali oleh media mengenai spekulasi akhbar bahawa saya tidak akan berada dalam Kabinet,

“Pelantikan Kabinet adalah prerogatif Perdana Menteri. Sama ada saya berada dalam Kabinet atau tidak adalah kedua kepada kepentingan bahawa masa depan negara kita tidak boleh dicuri,” katanya pada Jumaat.

Tambahnya, beliau bersedia untuk berkhidmat demi kepentingan negara yang dianggap lebih utama.

“Izinkan saya menyatakan kesediaan saya untuk berkhidmat dalam apa jua kapasiti asalkan ia memenuhi kepentingan negara yang lebih besar,

“Asalkan kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri boleh terus berfungsi dan kekal stabil terhadap kuasa ekstremis yang cuba melemahkan dan menggulingkannya,” ujarnya.

Ahli Parlimen Bagan itu mengulangi bahawa Pakatan Harapan (PH) berhak berada dalam kerajaan persekutuan selepas memenangi kerusi dan undi terbanyak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

“Bersama dengan Barisan Nasional (BN) dan parti dari Sabah dan Sarawak, kerajaan perpaduan ini mempunyai majoriti jelas yang mewakili kehendak rakyat, bukan hanya mewakili satu kumpulan tetapi setiap rakyat Malaysia dalam masyarakat kita yang pelbagai,

“Ini adalah kerajaan perpaduan Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong selama hampir sejam pagi tadi dan dipercayai mengemukakan cadangan barisan Jemaah Menterinya.

Anwar ketika berucap di Majlis Jamuan Kenduri Rakyat di Tambun, Perak sebentar tadi memaklumkan, beliau akan mengumumkan senarai Jemaah Kabinet yang baharu selewat-lewatnya petang ini. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply