Home PolitikPakatan Harapan Henti sebar kebencian, takutkan rakyat – Angkatan Muda Keadilan

Henti sebar kebencian, takutkan rakyat – Angkatan Muda Keadilan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Kebebasan bersuara tidak menghalalkan sesetengah parti untuk terus menyebarkan fitnah dan kebencian kepada masyarakat di Malaysia.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim menggesa pemimpin yang penuh dengan adu domba perlu segera berhenti menyebar dakyah kebencian tidak berasas sebaliknya menumpukan kepada usaha membina semula negara dan memperkukuh ekonomi.

Menurutnya, gejala itu harus dibendung dengan segera bagi memastikan ia tidak menimbulkan keresahan dan ketidaktenteraman awam.

“Beberapa kenyataan lewat ini yang dikeluarkan oleh segelintir pimpinan Perikatan Nasional (PN) dilihat sebagai melampau, angkuh dan liar,

“Sementara kita menjunjung hak kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan, namun kebebasan tersebut tidak termasuk untuk menghina dan memfitnah sesuka hati tanpa segan silu,

“Sikap demikian juga tidak sama sekali melambangkan prinsip dan akhlak Islamiah seperti yang dilaungkan. Bahkan tindakan tersebut adalah perbuatan yang terkutuk dan hina di sisi agama,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Tegasnya, ucapan beberapa pemimpin yang menghina dan menfitnah pihak yang tidak sehaluan adalah cubaan untuk menakutkan rakyat khususnya masyarakat Melayu.

“Mempertahan kepimpinan ulama itu seharusnya membawa maksud teguhkan nilai-nilai kepimpinan Islam yang menganjurkan perdamaian dan mempamer akhlak pimpinan yang baik,

“Ia bukan mempertahan sikap pemimpin yang penuh dengan adu domba dan caci maki yang akhirnya akan meninggalkan kesan yang buruk kepada masyarakat dan negara,

“Pemimpin berkenaan harus segera berhenti menyebar dakyah kebencian yang tidak berasas sebaliknya menumpukan kepada usaha membina semula negara dan memperkukuh ekonomi,” ujarnya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply