Home Politik PRU15: 7 Disember tarikh baharu pilihan raya DUN Tioman – SPR

PRU15: 7 Disember tarikh baharu pilihan raya DUN Tioman – SPR

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang ditunda ke 7 Disember 2022.

Proses pengundian PRU15 di DUN Tioman ditunda susulan kematian calon Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli, awal pagi tadi.

Pengerusi Abdul Ghani Salleh memaklumkan, hari penamaan calon bagi PRU kerusi terbabit ditetapkan pada 24 November ini, sementara pengundian awal pada 3 Disember depan.

Tempoh berkempen ditetapkan 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 24 November 2022 (Khamis) hingga jam 11.59 malam, 6 Disember 2022 (Selasa).

“Calon-calon yang sah dinamakan sebelum ini dikehendaki hadir ke pusat penamaan calon bagi tujuan cabutan undi untuk menentukan giliran pada kertas undi,

“Manakala bakal calon baharu yang ingin bertanding dalam PRU-15 bagi DUN Tioman hendaklah menyerahkan kertas penamaan calon yang lengkap diisi dan disemak oleh pejabat pegawai pengurus oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa hari penamaan calon,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Md Yunus (61) dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Rompin dan disahkan meninggal dunia jam 3.30 pagi tadi ketika menerima rawatan.

Sebelum ini, Md Yunus daripada PAS, bertanding di kerusi sama pada PRU14. Allahyarham adalah Ketua PAS Cawangan Sungai Puteri dan Pengarah 2 Jawatankuasa Pilihan Raya Kecil DUN Tioman dan bekas Timbalan Presiden Bola Sepak Daerah Rompin.

Pada hari pengundian, Allahyarham sepatutnya menghadapi saingan 5 penjuru yang turut membabitkan calon daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Johari Hussain (UMNO), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH-AMANAH), Osman A Bakar (PEJUANG) serta Sulaiman Bakar (BEBAS).

Pemergian Md Yunus adalah kematian kedua membabitkan calon bertanding pada pilihan raya kali ini selepas calon PH bagi Parlimen Padang Serai di Kedah, M Karupaiya, 69, yang juga penyandang kerusi itu, meninggal dunia pada Rabu lalu.

Dalam kenyataan yang sama, Abdul Ghani berkata, SPR telah melantik pegawai daerah Rompin, Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek dibantu 6 penolong pegawai pengurus bagi menjalankan proses PRU15 DUN Tioman.

Beliau berkata, turut ditubuhkan 2 pasukan penguat kuasa kempen bertujuan pemantauan aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh berkempen.

Selain itu, seramai 429 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRU15 DUN terbabit, manakala keseluruhan 19 pusat mengundi dengan 54 saluran mengundi.

“PRU DUN itu memerlukan peruntukan RM3 juta, selain mengandungi seramai 28,465 pemilih yang terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan 3 pengundi luar negara,”ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply