Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PRU15: Apapun keputusan kena terima dengan tenang – Hadi Awang

PRU15: Apapun keputusan kena terima dengan tenang – Hadi Awang

by Nurulhuda

MARANG, 19 Nov – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyeru semua pemimpin politik dan pengundi menerima keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secara berlapang dada dan tenang.

Menurut beliau, rakyat perlu bersikap matang dan tidak mencetuskan sebarang provokasi atau kekecohan selepas pengumuman keputusan yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), malam ini.

“Kita manfaatkan amalan demokrasi dengan cara yang beradab dan bersopan. Alhamdulillah saya dapati setakat ini (sepanjang kempen) tidak berlaku perkara yang tidak diingini di seluruh negara,

“Ini satu keadaan yang baik, yang tenang. Kita harap suasana yang tenang dan aman ini berterusan walau apapun keputusan pilihan raya,” katanya selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila, pada Sabtu.

Selain itu, Abdul Hadi yang juga calon PAS Parlimen Marang itu berkata, sambutan di seluruh negara terhadap Perikatan Nasional (PN) menunjukkan perkembangan positif.

“Kita nampak (sambutan terhadap PN) menunjukkan perkembangan positif di seluruh semenanjung, dari Perlis sampai ke Johor. Ia amat menggalakkan khususnya dengan kehadiran anak-anak muda (yang keluar mengundi) dan ini merupakan satu petanda yang baik,

“Dengan keadaan cuaca yang baik kita harap peratusan keluar mengundi itu tinggi dan kesedaran juga tinggi,” ujarnya.

Abdul Hadi turut mengakui mampu kekalkan kemenangan di Marang berdasarkan peningkatan undi diterima setiap kali pilihan raya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru kepada pengundi supaya keluar menunaikan kewajipan itu.

“Saya menyeru kepada seluruh pengundi-pengundi bagi orang Isalam dan bukan Islam. Bagi orang Islam, mengundi ini wajib kerana memilih pemimpin dalam Islam adalah wajib. Kita tidak boleh ketinggalan dalam masalah ini,

“Dan sebagai orang bukan Islam juga tunaikan tanggungjawab sebagai rakyat untuk memilih pemimpin masing-masing,” ujarnya lagi. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply