Home Politik Hadi tak sesuai jadi Perdana Menteri – Kit Siang

Hadi tak sesuai jadi Perdana Menteri – Kit Siang

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak sesuai untuk menjadi Perdana Menteri, sekalipun pasti itu memenangi banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) , 19 November ini.

Veteran DAP, Lim Kit Siang menyifatkan, kritikan yang dilemparkan Abdul Hadi terhadap DAP, dengan dakwaan ahli parti tersebut dengan pelbagai perkara negatif, telah menunjukkan beliau tidak layak untuk menjadi Perdana Menteri bagi Malaysia sebagai sebuah negara yang majmuk.

Kit Siang berkata, seorang pemimpin perlulah daripada kalangan individu yang boleh menjadi teladan kepada rakyat dan tidak hanya melempar pelbagai tohmahan serta fitnah kepada pihak lawan.

“Hadi sedang memberikan semakin banyak sebab mengapa dia tidak sesuai untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia, tak kiralah berapa banyak kerusi sekalipun dimenangi PAS pada 19 November ini,

“Seorang Perdana Menteri Malaysia perlulah seorang berpegang kepada janjinya dan boleh menjadi tauladan integriti dan kejujuran. Dia tidak boleh menyebarkan penipuan dan fitnah sewenang-wenangnya,

“Hadi telah menuduh DAP sebagai anti Melayu, Islam, dan Raja. Adakah dia mempunyai apa-apa bukti dan mengapa dia masih tidak menunjukkan sebarang bukti-bukti ini?,” jelasnya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Abdul Hadi, sedangkan beliau adalah seorang pemimpin Islam yang sepatutnya tidak menyebarkan fitnah dan penipuan, malah bekerjasama dengan mereka yang terlibat dengan rasuah.

“Adakah Islam mengajar pemimpinnya begitu? Saya rasa tidak, seperti semua agama yang hebat, Islam menegakkan kebenaran, kebebasan dan keadilan,

“Hadi menghina kebijaksanaan serta moral pemimpin dan calon Melayu DAP dengan menuduh yang mereka dipergunakan oleh orang Cina,

“Untuk makluman Hadi, dalam DAP, kita semua adalah rakyat Malaysia walaupun pada masa sama kita berbeza kaum dan agama tetapi tidak ada sesiapa yang mempergunakan sesiapa yang lain untuk kepentingan sendiri,” tegasnya.

“Hadi tidak memahami maksud ‘sekular’ kerana perkataan ini tidak bermakna anti-agama atau tidak bertuhan, tetapi seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, Islam adalah agama rasmi persekutuan tetapi agama-agama lain dapat diamalkan dengan bebas serta aman,

“Amat malang apabila Hadi cuba untuk mentafsir ‘sekular’ sebagai ‘menolak tuhan’ atau ‘anti-agama’ sedangkan perkara ini tidak pernah dimaksudkan sebegini di Malaysia kerana perkataan ini melambangkan kebebasan beragama di Malaysia,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Kit Siang menjelaskan, Hadi turut menuduh pemimpin DAP sebagai komunis.

“Saya berminat untuk tahu apakah perkara yang tiba-tiba menjadikan saya seorang komunis selepas PRK Teluk Intan pada tahun 2014?,

“Cawangan Khas PDRM tidak tahu yang saya kononnya seorang komunis. Hadi tidak memaklumkan Cawangan Khas yang saya komunis dengan segala bukti-bukti yang kononnya ada?,

“Sekiranya tidak, Hadi telah gagal dalam tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Kit Siang mendakwa Hadi berterusan mencuba untuk mencari sebab-sebab baharu untuk terus memecah belah rakyat Malaysia dan bukannya mencari titik persamaan untuk menyatukan rakyat Malaysia yang berlatar belakang pelbagai kaum, agama, budaya dan kawasan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply