KUALA LUMPUR, 14 Nov – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan latihan yang melibatkan aturgerak bantuan logistik, pada Ahad.
TUDM menerusi hantaran di media sosialnya berkata, latihan ini bertujuan bagi menguji keupayaan anggota Seksyen Hantaran Udara (SHU) TUDM melaksanakan operasi Bantuan Logistik Udara jika diperlukan dalam sebarang bentuk pelaksanaan misi.
Menurut TUDM, latihan ini meliputi teori dan latihan praktikal dengan memfokuskan kepada penyediaan muatan, pemeriksaan muatan, Sling Load Operation dan guguran udara.
“Latihan ini memfokuskan muatan jenis Heavy Equipment, Container Delivery System, Low Cost Low Altitude dan Combat Rubber Rescue Craft (CRRC) milik Pasukan Khas TUDM (PASKAU),
“Ia turut melibatkan pesawat angkut TUDM iaitu C130H dan A400M serta helicopter EC 725 AP,” jelas hantaran itu.
Jelas TUDM, aturgerak Drop Zone Recovery Team (DZRT) yang ditugaskan di DZ Penor dan Nangka pula bertanggungjawab untuk melaksanakan penerimaan melalui recovery peralatan serta bantuan bekalan yang telah digugurkan.
“Ia juga melibatkan aturgerak operasi seperti pengoperasian pengguguran Air Droppable Rigid Hull Inflatable Boat dan CRRC bagi misi mencari dan menyelamat (Search and Rescue) juruterbang atau mangsa nahas pesawat terhempas di lautan yang dilaksanakan bersama Maritime Para Rescue Team, PASKAU,” kata TUDM.
Sementara itu, bagi FTX PARADISE 9/22 kali ini, guguran udara yang melibatkan pesawat A400M juga dilaksanakan bagi Fasa Tactical Live Training buat pertama kalinya. Ia memberi peluang kepada anggota SHU TUDM dalam meningkatkan keupayaan taktikal bagi pelaksanaan operasi guguran udara.
Tambah TUDM, latihan ini juga melibatkan pasukan daripada 10 Kompeni Kor Perkhidmatan Diraja (Para) di dalam latihan pengguguran udara dan Sling Load Operation.
“Kerjasama yang jitu di antara 2 pasukan ini di dalam pelaksanaan operasi Bantuan Logistik Udara secara tidak langsung memperlihatkan keberkesanan bagi menjayakan FTX PARADISE 9/22 pada kali ini,” ujar TUDM. -airtimes.my