Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara PATKOR MALINDO: Pesawat TUDM-TNI AU lakukan rondaan bersama demi keamanan sejagat

PATKOR MALINDO: Pesawat TUDM-TNI AU lakukan rondaan bersama demi keamanan sejagat

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Udara (TNI-AU) telah melaksanakan rondaan bersama dalam Operasi PATKOR MALINDO di ruang udara Selat Melaka bermula pada 7 November lalu.

Markas TUDM menerusi hantaran di media sosialnya berkata, pengoperasian ini dijalankan adalah sebagai langkah pemantauan bersama di ruang udara Selat Melaka bagi membanteras sebarang jenayah rentas sempadan, penyeludupan dan pencerobohan.

“Di samping menjaga ruang udara di Selat Melaka, kerjasama pengoperasian dua hala yang diadakan sebanyak 2 kali setahun ini dapat meningkatkan tahap kesiagaan operasi dan kerjasama menyeluruh kedua-dua buah negara,

“Secara tidak langsung ia juga dapat mengeratkan lagi hubungan angkatan udara yang sedia terjalin,” jelas TUDM.

Menurut hantaran itu, di bawah penjanjian General Border Committee (GBC), TUDM telah merancang pelaksanaan Operasi Udara di bawah naugan Team Perancang Operasi Udara (TPOU) MALINDO antara pihak TUDM dan kerjasama pihak TNI-AU.

Jelas TUDM, pihaknya akan mengaturgerak pesawat Hawk 108/208 dari No 15 Skuadron.

Turut sama terlibat dalam operasi kali ini ialah CRC Kuantan sebagai Pusat Kawalan Operasi, JAMCC Sepang dan Civil Aviation Authority Malaysia (CAAM) merupakan koordinator untuk ruang udara yang digunakan.

TNI-AU pula mengaturgerak pesawat F16 C dari 16 Skuadron Udara yang membuat penerbangan dari Pangkalan Udara Roesmin Nurjadin, Pekan Baru dan KOSEK HANUDNAS III Medan.

TUDM turut menjelaskan, PATKOR MALINDO adalah antara jalinan kerjasama pertahanan antarabangsa yang menjaga keselamatan dan kepentingan serantau khususnya kedua dua negara jiran Malaysia serta Indonesia.

“Secara tidak langsung meningkatkan kesiagaan operasi dan kompetensi semua warga yang terlibat,” ujar TUDM. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?