Home Semasa 2 suspek termasuk ‘tonto’ ditahan, rokok seludup RM2 juta dirampas

2 suspek termasuk ‘tonto’ ditahan, rokok seludup RM2 juta dirampas

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 25 Sept – Pihak polis telah merampas rokok seludup bernilai hampir RM2 juta selepas menahan sebuah lori di lampu isyarat simpang empat Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, dalam kejadian 1.30 pagi itu, 2 lelaki turut ditahan sepasukan polis dari Unit Risikan Pasukan Simpanan Persekutuan dan Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan, Bukit Aman.

Beliau berkata, selain pemandu lori berusia lingkungan 40-an, seorang lagi yang ditahan berusia 20-an dipercayai ‘tonto’ yang memandu kereta jenis Toyota Vios.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam ruangan belakang lori tersebut telah menjumpai 131 kotak besar rokok putih jenama ‘Zon King’ dan 92 kotak besar rokok kretek jenama ‘L.A Bold’ yang disyaki tiada duti kastam.

“Nilai keseluruhan rampasan rokok dianggarkan RM2,006,100,”katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Dalam pada itu Hussin berkata, pihak tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang terbabit aktiviti penyeludupan rokok.

Tambahnya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari 10 kali ganda harga barang atau RM100,000 yang mana jumlah yang lebih tinggi.

“Mereka juga boleh dikenakan hukuman tidak lebih dari 20 kali ganda nilai harga barang atau RM500,000 yang mana jumlah yang lebih tinggi atau penjara tidak kurang dari 6 bulan dan tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply