Home Politik PRU15: UMNO perlu bekerjasama dengan PAS – Annuar Musa

PRU15: UMNO perlu bekerjasama dengan PAS – Annuar Musa

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 5 Sept – UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu menerima kerjasama dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Seri Annuar Musa berpendapat, pendirian PAS untuk meneruskan kerjasama dengan parti itu seperti yang diterjemahkan dalam muktamarnya baru-baru ini, perlu dilihat secara positif.

“Saya mengikuti dengan rapat muktamar Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan resolusi yang diputuskan di muktamar tersebut,

“PAS telah mengambil satu langkah strategik bila mengistiharkan dasar meneruskan kerjasama dengan UMNO dan BN,

“Pendirian PAS harus dilihat secara positif dan terbuka. Strategi PRU15 perlu digarap rapi dan bukan atas dasar emosi atau kepentingan diri,” kata Annuar dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, PRU perlu disegerakan sebaik saja UMNO bersiap siaga daripada semua sudut.

“Salah satu dari kesiapsiagaan terpenting adalah the winning formula, formula untuk menang. Menyegerakan PRU bagi memenuhi tujuan lain, tetapi jika membawa padah, adalah satu tindakan ‘kamikaze’ politik buat UMNO. Kita harus elakkan itu,

“Kita harus membuat kajian terperinci dan objektif. Data dan hasil penyelidikan yang rapi diperlukan. Kesilapan lampau jangan berulang,” katanya.

Annuar menambah, politik negara hanya stabil jika teras dan tiang seri politik kukuh, dengan berpaksikan politik orang Melayu yang mantap.

“Strategi musuh adalah untuk melihat politik Melayu lemah. Ia lemah bila orang Melayu berpecah,

“Perpaduan Melayu menjadi teras kekuatan UMNO selama ini. Sejak penubuhannya pada 1946, UMNO adalah tonggak perpaduan orang Melayu yang paling utama,

“UMNO tidak harus terjun dalam PRU tanpa menyempurnakan penyatuan Melayu, apa lagi cuba bergerak solo dalam situasi politik yang sudah banyak berubah,” jelasnya.

Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-68 semalam menyuarakan usul penyatuan parti politik dan pertubuhan Melayu-Islam dengan menyertakan UMNO di dalamnya.

Usul yang dikemukakan oleh Dewan Ulama PAS Pusat itu bertujuan mengembalikan kuasa parti-parti politik teras Melayu-Islam dalam pilihan raya berkenaan termasuk meneruskan kerjasama dengan UMNO melalui platform Muafakat Nasional (MN) untuk memastikan situasi satu lawan satu pada PRU15.

Namun begitu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tidak akan bekerjasama dan melakukan rundingan dengan PAS.

Jelasnya, kerjasama yang PAS sampaikan hanya satu bentuk kerjasama politik dangkal yang tidak mengambil kira keperluan rakyat sebagaimana semangat Muafakat Nasional yang sebenar. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply