Home PolitikBarisan Nasional Rugi jika KJ tidak bertanding PRU15 – Reezal

Rugi jika KJ tidak bertanding PRU15 – Reezal

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 5 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyifatkan pengumuman Khairy Jamaluddin yang membayangkan ‘worst-case scenario’ tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai satu kerugian.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, telah mengenali Khairy secara peribadi sejak sama-sama bergiat aktif dalam pergerakan Pemuda UMNO.

“Kita semua dapat lihat beliau (Khairy) mempunyai kebolehan tersendiri untuk ‘deliver’ serta melunaskan tanggungjawab dengan baik,

“Ya, adakala beliau agak lantang memberikan sudut pandang atau perspektif yang agak berbeza. Namun ia tidak bermakna pandangan beliau betul semuanya atau salah semuanya,” katanya dalam hantaran di media sosialnya, semalam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menegaskan, Khairy seorang rakan menteri yang sering memberi hujah-hujah bernas di dalam Mesyuarat Kabinet.

“Kepimpinan beliau juga diiktiraf di peringkat antarabangsa hingga membolehkan dipilih sebagai Naib Presiden Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-75 pada Mei 2022 lalu,

“Selain itu, Khairy juga dilihat sebagai personaliti yang boleh memberi keseimbangan untuk menarik pengundi khususnya kumpulan belia 18 tahun dan pengundi kali pertama (first-time voters),” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perubahan demografi pengundi pasca Undi 18 ini juga dilihat cukup dinamik dan Khairy mempunyai aura tersendiri yang boleh mengekalkan momentum kemenangan buat UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Seperti manusia lain juga, Khairy tidak sempurna tetapi saya yakin keupayaan dan kebolehannya sebagai seorang pemimpin akan terus menjadi aset politik yang cukup penting untuk kemenangan parti dalam PRU-15 akan datang ini,” tegasnya.

Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, kemungkinan akan bertanding di kerusi Parlimen bagi memainkan peranan di peringkat kebangsaan.

Pada masa sama, Khairy turut mengesahkan tidak akan bertanding di Parlimen Rembau pada PRU15.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas beliau diarah mengosongkan kerusi itu oleh Mohamad Hasan, yang mahu bertanding di Parlimen Rembau, selain mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang disandangnya sejak 2004.

Khairy mengakui terpaksa akur dengan arahan itu walaupun tidak pernah bersedia untuk bertanding di mana-mana kawasan Parlimen lain, memandangkan sudah lebih 20 tahun berpolitik di Rembau. – airtimes.my

 

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply