Home Semasa 369 aset darat, 68 udara meriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2022

369 aset darat, 68 udara meriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2022

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Penantian 2 tahun Keluarga Malaysia untuk hadir ke sambutan Hari Kebangsaan secara fizikal dan besar-besaran, berakhir apabila acara bagi memperingati tarikh keramat itu menggegarkan Dataran Merdeka, hari ini.

Acara dimulakan dengan ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Jemaah Menteri pada jam 8 pagi.

Kemudian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli berangkat tiba bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli berangkat tiba bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Sambutan Hari Kemerdekaan 2022 di Dataran Merdeka.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kemudian menyempurnakan pemeriksaan kawalan kehormat utama Panji-Panji Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Nurul Fauzan Md Sabri.

Sambutan yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ diteruskan dengan perbarisan dan perarakan kontinjen kenegaraan pada jam 10 pagi.

Sebanyak 76 ekor haiwan dalam perkhidmatan turut terlibat dalam perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan 2022.

Perarakan ini melibatkan seramai 20,000 peserta, 76 ekor haiwan dalam perkhidmatan, 369 aset darat dan 68 aset udara daripada pelbagai pihak.

Antara kontinjen yang terlibat, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Paling mencuri tumpuan pengunjung, perarakan aset ketenteraan antaranya kereta kebal PT-91M (Pendekar), kereta perisai tempur Adnan AVR, Adnan AVF dan Adnan AMB dari Tentera Darat Malaysia (TDM).

Sambutan Hari Kebangsaan 2022 dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa.

Manakala, perbarisan dan perarakan diselaraskan oleh ATM serta garapan persembahan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

“Penganjuran kali ini juga melibatkan perarakan komuniti besar Keluarga Malaysia seperti komuniti Orang Asli, cef-cef terkenal dari Persatuan Jurumasak Malaysia, selebriti terkenal tanah air, wira dan wirawati negara yang telah memenangi pingat di temasya sukan antarabangsa,

“Kontinjen petugas barisan hadapan dalam menghargai pengorbanan mereka di saat sukar ketika negara memerangi pandemik COVID-19 turut terlibat dalam perbarisan pada pagi ini,” jelas Jawatankuasa Media dan Publisiti Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022.

Dataran Merdeka kemudian digegarkan dengan pertunjukan udara yang melintasi pentas utama dan acara tersebut mendapat sorakan dari lebih 50,000 pengunjung.

Lebih 50,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat membanjiri Dataran Merdeka setelah 2 tahun tidak diadakan sambutan akibat penularan COVID-19.

Acara tersebut melibatkan formasi pesawat Sukhoi SU-30 MKM, F/A-18D Hornet, B.A.E Hawk, pesawat pengangkut A400M Airbus, C130 Hercules serta 7 jenis helikopter milik agensi kerajaan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply