Home Semasa Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia bebas tuduhan pecah amanah

Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia bebas tuduhan pecah amanah

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Mahkamah Tinggi hari ini membebas dan melepaskan sepenuhnya bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Ab Hamid daripada pertuduhan pecah amanah wangberjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain ketika memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Fairuz Johari tidak mengemukakan sebarang bantahan.

“Menurut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah, mahkamah mempunyai kuasa untuk membuat keputusan,

“Berdasarkan fakta bahawa pihak pendakwaan tidak lagi mempunyai keinginan untuk meneruskan kes, maka mahkamah mempunyai kuasa ini akan memberikan perintah dilepaskan dan dibebaskan,

“Tidak adil buatnya untuk pertuduhan ini terus tergantung di kepalanya lebih dari setahun. Keadilan tidak dilaksanakan dengan cara sedemikian,” kata Roz Mawar.

Pada 12 April 2021, Hasanah dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada tuduhan itu pecah Amanah.

Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan perkara itu selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap wanita berkenaan.

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, melakukan pecah amanah wang berjumlah RM50.4 juta milik kerajaan Malaysia.

Beliau didakwa melakukan perbuatan tersebut di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan JPM, Kompleks JPM, Putrajaya di antara 30 April dan 9 Mei 2018.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta denda. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply