Home Pertahanan dan Keselamatan Mat Sabu, Liew: Reka bentuk akhir LCS belum dimuktamad, macam mana nak siap?

Mat Sabu, Liew: Reka bentuk akhir LCS belum dimuktamad, macam mana nak siap?

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan mantan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong hari ini  menegaskan Datuk Seri Najib Razak serta Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi punca kelewatan kapal tempur   pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk siap mengikut jadual.

“Najib sedang cuba mengelirukan rakyat dan salahkan kerajaan Pakatan Harapan padahal beliau dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang bertanggungjawab atas kegagalan projek LCS kerana meluluskan projek ini tanpa rundingan teliti dengan pakar terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan bersama.

Tambahnya, sasaran Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa kapal LCS yang pertama akan siap dalam tempoh 2 tahun adalah langsung tidak realistik.

Projek LCS sekali lagi mendapat perhatian umum setelah laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung perolehan tersebut telah didedahkan kepada umum.

“Memandangkan detailed design yang sepatutnya dimuktamadkan pada November 2016 hanya siap lebih kurang 80% dan Naval Group belum lagi dibayar, maka pengumuman Hishammuddin di Dewan Negara bahawa LCS kapal pertama ‘akan siap dalam satu atau dua tahun’ langsung tidak realistik,

“Proses reka bentuk adalah proses yang paling penting dalam pembinaan LCS,” katanya.

Jelas kenyataan bersama itu, tanpa reka bentuk lengkap yang diluluskan oleh Naval Group dan Bureau Veritas, projek LCS tidak dapat diteruskan.

“Sebarang status siap kerja yang lain adalah tidak bermakna,” katanya.

‘Lewat sejak 2016’

Dalam kenyataan bersama, Mat Sabu dan Chin Tong menyatakan reka bentuk tersebut sepatunya siap pada November 2016 tetapi gagal  dimuktamadkan sehingga hari ini.

“Projek LCS telah mengalami kelewatan sejak 2016. Reka bentuk terperinci (detailed design) yang sepatutnya siap pada November 2016 belum lagi dimuktamadkan sehingga hari ini,

“Kerajaan Pakatan Harapan telah membuat keputusan mengenai hala tuju projek ini pada Februari 2020 berpandukan cadangan JKSTUPKK namun kerajaan jatuh pada bulan tersebut juga,” kata kenyataan yang mengulas tuduhan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa kelewatan LCS berpunca dari kerajaan Pakatan Harapan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin menegaskan kapal pertama LCS akan siap dalam masa setahun dua lagi.

Najib sebelum ini mendakwa projek LCS terbengkalai kerana ditangguhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada September 2019 dan hanya dapat diteruskan semula pada April 2022 berikutan pandemik COVID-19 yang melanda sejak 2 tahun lalu.

“Kedua-dua kenyataan ini adalah tidak benar sama sekali dan hanya bertujuan untuk mengelirukan rakyat,” kata kenyataan itu.

‘Garis masa bukti usaha kerajaan Pakatan Harapan’

Tambahnya garis masa projek LCS dari Januari 2016 hingga Januari 2020 telah membuktikan Pakatan Harapan bukan menjadi punca projek LCS lambat siap.

“Status kemajuan projek LCS sepatutnya mencapai 49.12% pada 𝗝𝗮𝗻𝘂𝗮𝗿𝗶 𝟮𝟬𝟭𝟲 tetapi hanya siap 39.67%; 59.35% pada 𝗝𝗮𝗻𝘂𝗮𝗿𝗶 𝟮𝟬𝟭𝟳 tetapi hanya siap 46.99%; 70.53% pada 𝗝𝗮𝗻𝘂𝗮𝗿𝗶 𝟮𝟬𝟭𝟴 tetapi hanya siap 50.15%; dan 82.41% pada 𝗝𝗮𝗻𝘂𝗮𝗿𝗶 𝟮𝟬𝟮𝟬 tetapi hanya siap 56.39% dengan variance sebanyak -26.02%,” katanya.

Jelas Mat Sabu dan Liew Chin Tong, pembinaan LCS melibatkan beberapa fasa iaitu concept design (reka bentuk konsep), diikuti basic design (reka bentuk asas) dan detailed design (reka bentuk terperinci).

“Menurut persetujuan di antara Naval Group Perancis dan kontraktor Boustead Naval Group (BNS), detailed design perlu diluluskan oleh Naval Group selaku design authority sebelum pembinaan kapal,

“Fasa concept design bermula pada 4 Jun 2012 dan sepatutnya dimuktamadkan pada 28 Januari 2013. Namun, ia hanya dimuktamadkan pada 24 September 2013 (kelewatan 238 hari atau 8 bulan),

“Basic design mula pada 3 Oktober 2013 dan sepatutnya dimuktamadkan pada 31 Januari 2015 tetapi hanya disiapkan sepenuhnya pada 20 Januari 2016 (kelewatan 17 bulan 20 hari).

“Menurut kontrak asal, fasa detailed design sepatutnya dilaksanakan dari 6 Ogos 2014 hingga 29 November 2016. Namun, fasa ini berterusan sehingga hari ini dan masih belum selesai,” ujarnya.

Satu taklimat status semasa dan hala tuju projek LCS telah dibentangkan kepada Tun Dr Mahathir pada 11 Februari 2020. Foto: Mohamad Sabu

‘Tun M sudah putuskan penyelesaian’

Menurut kenyataan itu, Tun Dr Mahathir telah diberikan taklimat oleh pihak Kementerian Pertahanan, Panglima Tentera Laut dan Tan Sri Amrin Buang dalam satu mensyuarat pada 11 Februari 2020.

“Dalam mesyuarat tersebut, mantan Perdana Menteri memutuskan bahawa mereka yang telah membuat salah laku mesti dibawa ke muka pengadilan dan pengurusan Boustead Naval Shipyard dirombak,

“Selain daripada itu, LCS dianggap LCS sebagai projek sakit dan akan menerima suntikan dana untuk ganti balik dana yang diseleweng,

“Kementerian Pertahanan diarahkan untuk membentang kertas Jemaah Menteri dalam masa terdekat,” katanya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply