Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Eksesais Samudera Perkasa Barat perkukuh kerjasama TLDM, APMM

Eksesais Samudera Perkasa Barat perkukuh kerjasama TLDM, APMM

by Air Times News Network

LUMUT, 9 Ogos – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) perkukuh kerjasama menerusi Eksesais Samudera Perkasa Barat siri 5/22.

Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat berkata, eksesais tersebut bertujuan bagi memperkasakan keupayaan kebolehoperasian bersama kedua-dua agensi dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dan menjaga keselamatan maritim negara.

Majlis pembukaan eksesais telah dirasmikan oleh Timbalan Panglima Armada Barat, Laksamana Pertama Farizal Myeor di KD Sri Indera Sakti, Pangkalan TLDM Lumut, pada Isnin.

Turut hadir Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Pertama (M) V. Pannir Selvan Veloo.

Farizal berkata, eksesais tersebut telah bermula pada 7 hingga 12 Ogos 2022 bertemakan “Penguatkuasaan Undang-Undang Maritim, CARILAMAT (SAR) dan Pengenalan Peperangan di Laut”.

“Objektif utama eksesais pada kali ini adalah bagi meningkatkan kebolehoperasian di antara TLDM dan Maritim Malaysia dalam melaksanakan operasi secara bersama ketika waktu aman mahupun sewaktu konflik,” katanya.

Dalam pada itu, Farizal menjelaskan, tema pada kali ini adalah berbeza berbanding tahun-tahun yang lalu kerana terdapat elemen kepada peperangan asimetrik dan konvensional selain aspek navigasi, ilmu laut serta CARILAMAT yang masih dikekalkan.

“Inisiatif ini diyakini akan memperkukuhkan kesefahaman dan ketersediaan kedua-dua agensi melalui kerjasama dalam membanteras sebarang anasir-anasir jahat yang melanggar undang-undang serta menceroboh perairan negara,” jelasnya.

Tegasnya, kedua-dua agensi telah mempamerkan komitmen yang tinggi dalam menjayakan eksesais dengan penglibatan aset pertahanan seperti KD Sri Indera Sakti, KD Laksamana Tan Pusmah dan pesawat Fennec TLDM.

Tambahnya lagi, KM Bagan Datuk, KM Nyalau serta pesawat AW139 dari APMM turut terlibat dalam usaha menjayakan eksesais tersebut.

Jelasnya, eksesais tersebut turut melibatkan aset-aset sokongan daripada kedua-dua agensi seperti Fast Combat Boat dan Pasukan Khas Laut (PASKAL) serta Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) APMM. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply