Home Pertahanan dan Keselamatan KPDNHEP patahkan cubaan seleweng 30,000 liter diesel, 2 lelaki ditahan

KPDNHEP patahkan cubaan seleweng 30,000 liter diesel, 2 lelaki ditahan

by Air Times News Network

KUALA KRAI, 9 Ogos – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan berjaya mematahkan cubaan seleweng 30,000 liter minyak diesel menggunakan lori tangki minyak sawit di Kuala Krai, semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNHEP Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, kedua-dua suspek warga tempatan berusia 39 dan 41 tahun berjaya ditahan menerusi operasi bersepadu mencegah ketirisan barang kawalan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 Tok Bali serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai.

“Pasukan operasi berjaya mengesan sebuah lori tangki minyak dalam keadaaan mencurigakan dan telah menahannya menerusi hasil risikan yang dijalankan,

“Pemeriksaan awal mendapati lori berkenaan telah membawa sejumlah bahan api diesel disyaki diesel bagi tujuan diselewengkan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, siasatan mendapati lori tersebut telah diubahsuai pada bahagian belakang lori serta bekalan diesel dipercayai diperoleh secara belian di stesen minyak sekitar Kelantan dan Terengganu.

Katanya, sebanyak 30,000 liter minyak diesel telah disita oleh pasukan operasi lalu menahan 2 suspek bersama lori serta tangki 30 tan liter bagi siasatan lanjut.

“Kedua dua lelaki tersebut gagal kemukakan sebarang dokumen pemilikan ke atas barang kawalan dan sindiket dipercayai menggunakan modus operandi membawa lori minyak sawit yang diubah suai bagi mengaburi mata pihak berkuasa,

“Nilai rampasan barang kawalan minyak diesel dianggarkan berjumlah RM64,500 manakala jumlah rampasan kenderaan bernilai RM400 ribu,” ujarnya.

Jelasnya lagi, suspek berkenaan telah ditahan reman selama 4 hari dan siasatan lanjut akan dijalankan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Tindakan tegas akan diambil kepada mana mana pihak yang terlibat dengan kegiatan haram penyelewengan barangan kawalan bersubsidi ini. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!