Home Semasa Crackhouse Comedy Club tiada lesen hiburan – Timbalan Menteri Wilayah

Crackhouse Comedy Club tiada lesen hiburan – Timbalan Menteri Wilayah

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Jul – Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) yang terpalit kontroversi apabila seorang wanita melakukan persembahan dengan membuka pakaian disahkan tidak mempunyai lesen hiburan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, premis berkenaan telah beroperasi tanpa lesen sejak tahun 2014 hingga 2017.

Menurutnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan notis kepada premis tersebut mengikut Seksyen 101(1)(V) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Premis berkenaan digantung operasi kerana tidak mempunyai lesen hiburan selaras dengan Seksyen 17, Akta Hiburan 1992,

“Walaupun beberapa permohonan telah dibuat, pengusaha premis gagal mematuhi pelbagai keperluan pada setiap permohonan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Jalaluddin berkata, premis berkenaan hanya memiliki lesen operasi restoran dan minuman keras yang diluluskan pada 2018.

“Lesen itu masih sah sehingga kini, namun lesen hiburan masih tiada,

“Mana–mana pengusaha seumpama ini, perlu memiliki lesen premis dan lesen hiburan terlebih dahulu sebelum beroperasi,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan, DBKL akan terus mempergiat operasi bagi mengekang aktiviti haram dan pelanggaran undang-undang di premis hiburan yang berada dalam Kuala Lumpur dari semasa ke semasa.

Pada Ahad lalu, DBKL telah menggantung sementara operasi Crackhouse Comedy Club di TTDI itu susulan klip video yang tular melibatkan seorang wanita Muslim menghina Islam ketika persembahan. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply