KUALA LUMPUR, 20 Jul – Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) disimbah cat berwarna hitam dan merah oleh 2 lelaki pada awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, perbuatan khianat ini juga terkena pintu masuk utama sebuah bank tempatan.
“Seorang lelaki warga tempatan berumur 39 tahun iaitu pemilik Crackhouse Comedy Club telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut pada 19 Julai jam 4.56 petang dan menyatakan restoran miliknya yang terletak di Lorong Rahim Kajai 14 telah disimbah cat warna merah,
“Manakala lantai pintu utama menuju ke tangga disimbah cat warna hitam,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Pada masa sama, pekerja bank tersebut turut membuat laporan polis pada jam 10.07 pagi.
Menurut Amihizam, pihaknya telah membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bank dan restoran berkenaan serta mendapati kejadian berlaku antara jam 4.15 hingga 5.09 pagi.
“Semakan CCTV, polis mendapati 2 lelaki menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja telah membaling 2 plastik berisi cat merah dan hitam ke arah papan tanda kelab komedi itu,
“Namun, sebahagian dari cat hitam yang dibaling ke restoran telah terkena pada pintu utama bank tempatan itu,” ujarnya.
Katanya, rakaman CCTV yang diperolehi akan dihantar ke Jabatan Forensik PDRM untuk mendapatkan Analisa pakar.
“Kes ini disiasat dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 2 tahun atau denda atau dengan kedua-duanya,” jelasnya.
Kelab komedi tersebut merupakan kelab sama di mana seorang wanita, Siti Nuramira Abdullah membuat persembahan lawak jelik yang didakwa menghina agama Islam apabila dia tampil berbaju kurung dan mengaku telah menghafaz 15 juzuk al-Quran sebelum membuka bajunya. – airtimes.my