Home PolitikPakatan Harapan Hapus hutang PTPTN janji PAS, bukan PH – Nik Nazmi

Hapus hutang PTPTN janji PAS, bukan PH – Nik Nazmi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki seharusnya mengajukan tomahan berkaitan hutang peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ke PAS bukannya kepada Pakatan Harapan (PH).

Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dengan tegas sekaligus menolak dakwaaan bahawa kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu adalah kerana janji mereka untuk menghapuskan hutang peminjam PTPTN itu.

Beliau berkata sedemikian susulan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki yang mendakwa ramai telah termakan ‘pembohongan’ PH untuk menghapuskan hutang pelajar terbabit.

Nik Nazmi menegaskan, janji berkaitan PTPTN tersebut dibuat oleh PAS dan bukanya PH.

“Jika Asyraf ingin menuding jari berkaitan janji pemansuhan PTPTN, adalah lebih baik kemarahan itu dihalakan kepada PAS, yang kini berada di dalam kerajaan pusat lebih lama daripada PH,

“Andainya Asyraf mengkaji perbandingan manifesto PRU14, sudah pasti dia menemui janji PAS untuk memansuhkan terus hutang PTPTN,” katanya menerusi hantaran di media sosialnya pada Rabu.

Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa itu menegaskan, satu-satunya janji yang pernah dibuat oleh PH adalah untuk menangguhkan pembayaran sehingga graduan memperoleh pendapatan bulanan RM4,000.

“Manifesto PH berkaitan PTPTN adalah penangguhan bayaran sehingga peminjam memiliki gaji RM4,000,

“Ketika kita mengerti PTPTN merupakan bebanan untuk para graduan, lebih-lebih di Malaysia masalah permulaan gaji graduan yang rendah masih berlaku,” tegasnya.

Tambahnya, individu yang harus bertanggungjawab berhubung isu hutang PTPTN ialah pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan, memandangkan beliau dilantik sejak PH mengambil alih pentadbiran.

“Bagi PH, orang paling utama yang perlu bertanggungjawab dalam isu ini adalah Wan Saiful Wan Jan, memandangkan beliau diberikan amanah sejak zaman PH hingga ke hari ini sebagai pengerusi PTPTN,

“Malangnya, bermula dari zaman PH sehingga ke hari ini, Wan Saiful dan pasukannya belum datang dengan kaedah pembayaran yang mampu membantu para graduan,” ujarnya.

Terdahulu, Dr Asyraf Wajdi mendakwa ramai yang telah termakan dengan janji PH untuk menghapuskan hutang PTPTN pada PRU-14 lalu.

Tegasnya, ramai anak muda memenuhi ruangan media sosial 4 tahun lalu dengan pelbagai reaksi yang begitu seronok dan kepuasan hati mereka kerana tidak perlu lagi membayar balik hutang PTPTN.

“Antara janji PH yang paling berjaya mencetuskan gelombang besar kemenangan mereka adalah janji penghapusan hutang PTPTN,

“Sehinggakan ruangan media sosial 4 tahun lalu pada tarikh hari ini dipenuhi dengan pelbagai reaksi di kalangan anak-anak muda yang begitu seronok menzahirkan kepuasan hati mereka tidak perlu lagi membayar balik hutang PTPTN,” katanya.

Menurutnya, ramai dikalangan ibu bapa termasuk jentera UMNO juga termakan dengan janji PH itu. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!