Home Semasa Imigresen nafi dakwaan depot sesak, kurang petugas

Imigresen nafi dakwaan depot sesak, kurang petugas

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Apr – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan dakwaan laporan sebuah akhbar bahawa beberapa depot Imigresen di beberapa negeri sesak dan kekurangan kakitangan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, jumlah kapasiti tahanan di semua 21 depot Imigresen seluruh negara ini termasuk 3 depot Imigresen sementara adalah 21,150 orang.

Beliau berkata, sehingga 24 April lalu, jumlah tahanan di depot-depot tersebut adalah seramai 17,624 orang terdiri daripada 12,895 tahanan lelaki, 3211 tahanan perempuan, 851 tahanan kanak-kanak lelaki dan 677 tahanan kanak-kanak perempuan.

Khairul Dzaimee berkata demikian susulan laporan media tempatan berhubung kenyataan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal yang mendakwa keadaan Depot Imigresen Lenggeng di Negeri Sembilan sesak dengan tahanan, manakala 3 depot lain kekurangan petugas.

“Jumlah kapasiti tahanan di Depot Imigresen Lenggeng Negeri Sembilan seramai 1,000 orang iaitu 800 lelaki dan 200 perempuan,

“Sehingga 24 April 2022, jumlah tahanan di Depot Imigresen Lenggeng adalah seramai 779 orang terdiri daripada 583 tahanan lelaki, 173 tahanan perempuan, 15 tahanan kanak-kanak lelaki dan 8 tahanan kanak-kanak perempuan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Khairul Dzaimee, pihaknya mengambil serius kenyataan tersebut yang disifatkan tidak berasaskan fakta dan tidak memberikan gambaran sebenar mengenai situasi semasa pengurusan depot-depot Imigresen di seluruh negara.

Mengulas dari segi perjawatan pula, Khairul Dzaimee menjelaskan, jabatan itu telah mengkaji keperluan perjawatan bagi semua depot pada tahun 2019 dengan mengambilkira keperluan sebenar pegawai.

Menurutnya, keperluan perjawatan itu telah dipersetujui agensi pusat termasuk tambahan jawatan di 4 pusat tahanan sementara (PTS) di Sabah selepas pengambilalihan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Tambahnya, JIM sedang membuat pengisian kekosongan jawatan termasuk di depot-depot tahanan secara berterusan.-airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply