Home Semasa Boleh makan di kedai walau hilang status vaksinasi lengkap – Khairy

Boleh makan di kedai walau hilang status vaksinasi lengkap – Khairy

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Individu yang kehilangan status vaksinasi lengkap selepas enggan menerima dos penggalak masih boleh melakukan aktiviti-aktiviti dibenarkan seperti individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, aktiviti tersebut termasuklah makan di restoran, memasuki pusat beli-belah, tempat kerja dan rumah ibadat.

“Sehubungan itu, pemilik-pemilik premis perlu pastikan bahawa hanya pelanggan atau pengunjung yang telah sekurang-kurangnya melengkapkan vaksinasi dos primer dibenarkan masuk ke premis perniagaan, rumah ibadat dan lain-lain yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Khairy berkata, seorang individu itu diiktiraf sebagai telah lengkap vaksinasi dos primer apabila telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua.

Manakala, bagi vaksin jenis Johnson & Johnson dan CanSino, individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan.

Sementara itu, bagi pengembara dari luar negara yang akan memasuki Malaysia, beliau berkata mereka perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan iaitu hanya pengembara yang telah menerima vaksinasi lengkap termasuk dos penggalak dibenarkan memasuki premis-premis tersebut.

Beliau turut menegaskan, melalui pemakluman SOP terbaharu ini tidak bermaksud penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas serta penerima semua jenis vaksin berusia 60 tahun dan ke atas tidak perlu mendapatkan dos penggalak.

“Data penilaian yang dijalankan dalam kalangan penerima vaksin di Malaysia mendapati tahap perlindungan terhadap jangkitan COVID-19 menurun sehingga 20 peratus bagi 2 dos vaksin Pfizer dan 48 peratus bagi 2 dos vaksin Sinovac dalam tempoh 3 ke 5 bulan selepas vaksinasi primer,

“Pengambilan dos penggalak akan meningkatkan semula paras antibodi dalam tubuh, seterusnya mengurangkan risiko gejala teruk akibat jangkitan COVID-19,

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menasihatkan dan menggalakkan individu yang belum menerima dos penggalak supaya mendapatkannya segera. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply