Home PolitikPakatan Harapan SPR digesa lanjutkan tempoh daftar undi pos PRN Johor

SPR digesa lanjutkan tempoh daftar undi pos PRN Johor

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 Feb – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa untuk melanjutkan tempoh pendaftaran undi pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ekoran laporan yang menyatakan jumlah pengundi mendaftar rendah, setakat ini.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tempoh 9 hari yang diberikan amat singkat dan wajar dilanjutkan agar mereka yang layak dapat mendaftar serta melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka sebagai warganegara.

Beliau menjelaskan, menurut satu laporan media, dianggarkan cuma satu peratus dari jumlah pengundi Johor di Singapura telah mendaftar setakat 2 hari yang lalu.

“SPR mempunyai peranan amat penting dalam memastikan pengundi luar negara, khususnya di Singapura diberikan hak dan tindakan tersebut dapat memastikan proses demokratik berjalan lancar,

“Saya mengikuti beberapa laporan berita mengatakan ramai pengundi Johor yang berada di luar negara, khususnya di Singapura masih belum mendaftar sebagai pengundi pos,

“Dianggarkan cuma satu peratus dari jumlah pengundi Johor di Singapura sudah mendaftar setakat 2 hari lalu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Saiffuddin yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), menggesa pihak SPR untuk segera mengumumkan jumlah sebenar pengundi Johor yang telah mendaftar sebagai pengundi pos, mengikut negara di mana mereka berada.

“Tempoh pendaftaran perlu dilanjutkan bagi memudahkan proses, di samping harus lebih proaktif dalam kempen pendaftaran undi pos, termasuk di media sosial,

“Dalam keadaan pandemik belum reda ini, proses demokrasi tidak harus ‘dikuarantin’ atau dijadikan mangsa kerenah birokrasi,” tegasnya.-airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply