KUALA LUMPUR, 14 Nov – Dakwaan Presiden PKR, Datk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya ada anggota tentera khususnya di Parlimen Bera sudah mengundi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Isnin lalu (7 November) bukanlah suatu isu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, proses membuang undi bagi mereka adalah didaftarkan sebagai pengundi pos dan ia telah bermula pada tarikh tersebut.
Beliau berkata, semua kertas undi pos telah mula dikeluarkan semenjak tarikh berkenaan kepada anggota tersebut.
“Malah, ejen-ejen calon telah dimaklumkan oleh setiap Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengenai tarikh pengeluaran undi pos,
“Justeru, tidak timbul sebarang isu kerana ini adalah proses biasa dalam semua pilihan raya sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK) atau Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Anwar mendakwa anggota tentera telah melakukan undian awal dan dibayar sebayak RM300.
Dakwaan tersebut dinyatakan oleh Presiden PKR dalam satu majlis ramah mesra di Kuala Terengganu. – airtimes.my