KUALA LUMPUR, 23 Mac – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima permohonan pendaftaran pengundi pos anggota tentera kem Bera, Pahang dan kem Segamat, Johor yang dikemukakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada suku ketiga tahun lalu.
Menteri Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata kesemua permohonan pendaftaran terbabit sudah diproses mengikut peraturan termasuklah mempamerkan senarai nama anggota pemilih dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (DPT) bagi Suku Tahun 3/2017 selama 14 hari mulai 24 Oktober sehingga 6 November.
“SPR mewartakan pemerakuan terbabit bagi bahagian pilihan raya Parlimen P090 (Bera) membabitkan seramai 1,234 orang, manakala Parlimen P140 (Segamat) berjumlah 1,028 orang.
“Setiap anggota tentera yang berdaftar sebagai pengundi pos perlu mengundi di lokasi yang ditugaskan selaras dengan Peraturan 12 (Peraturan-Peraturan Pilihan Raya) Pendaftaran Pemilih 2002.
“Penentuan tempat bertugas bagi anggota terletak di bawah pengurusan ATM,” katanya ketika sesi penggulungan Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, hari ini.
Beliau berkata, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut menolak semakan hakim berhubung dua kes saman membabitkan pendaftaran anggota tentera pada 20 Februari lalu.
“Pihak mahkamah menegaskan pendaftaran membabitkan 926 dan 123 pemohon itu dibuat mengikut Seksyen 9 (A) Akta Pilihan Raya,” katanya.
Terdahulu, beliau mengulas tiada cadangan untuk mewujudkan pangkalan data tambahan bagi menyimpan maklumat pengundi kerana sistem yang sedia ada sudah mencukupi.
“Kesemua maklumat terbabit akan disimpan dalam pangkalan data SPR dan prosedur penyimpanan sudah mengambil kira keperluan sistem tambahan yang mencukupi dan mengikut kehendak semasa.
“Maklumat 150,000 pengundi hilang seperti yang didakwa pembangkang adalah tidak benar.
“Sebenarnya bukan hilang tetapi mungkin data terbabit tidak lengkap,” katanya.