JOHOR, 7 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Kementerian Pertahanan telah meluluskan pembinaan Kem Segamat Fasa 2.
Beliau berkata, pembinaan Kem Segamat ini dilengkapi lebih banyak fasiliti dan kemudahan.
“Ia juga bakal melengkapkan keseluruhan fungsi Kem Segamat, dengan fasiliti serta kemudahan yang akan dibina termasuk pembinaan bangunan guna sama seperti Wisma Perwira dan Bintara serta Pusat Perubatan Angkatan Tentera,” katanya.
Kementerian Pertahanan dalam hantaran di media sosialnya juga berkata, Ismail Sabri turut menyempurnakan Majlis Pelancaran Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) Kem Segamat, semalam.
Turut hadir, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad.
“RKMAT Kem Segamat ini mula dibina pada 24 April 2018 dengan kos RM147.7 juta,
“Ia merangkumi 305 unit RKMAT pelbagai kelas untuk kemudahan keluarga pegawai dan anggota pasukan Rejimen Ke-4 Artileri Diraja (RAD),” ujarnya.
Menurutnya, RKMAT ini menggambarkan keseriusan Kementerian Pertahanan untuk memelihara moral dan semangat para anggota melalui aspek kediaman.
“Terdapat beberapa lagi RKMAT yang telah siap pembinaannya dan bakal atau telah diduduki,
“Ini termasuklah 223 unit pelbagai kelas RKMAT 11 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Semenggo yang telah diduduki pada 10 Mac 2021,
“20 unit pelbagai kelas RKMAT 30 Briged, Kem Oran yang pembinaannya telah siap sepenuhnya dan dilancarkan pada 21 Februari 2022,” jelasnya.
Manakala sebanyak 204 unit pelbagai kelas RKMAT 13 RAMD, Kem Pakit yang telah selesai Lembaga Ambil Alih pada 16 Februari 2022.
Selain itu, terdapat 552 unit RKMAT melibatkan 4 buah kem bakal siap tahun ini.
“Ini termasuklah 78 unit di 20 RAMD, Kem Miri, 65 unit di 6 RAMD, Kem Tok Jalai, 135 unit di 2 Rejimen Sempadan, Kem Tumbi dan 274 unit di 34 RAD, Kem Bera,” ujarnya lagi. – airtimes.my