SEGAMAT, 6 Mac – Kadar dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 diumukan sebanyak 4.1 peratus iaitu yang tertinggi sejak pentadbiran kerajaan bertukar pada 2018.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi tahun kewangan 2021, LTAT mencatatkan peningkatan pendapatan kasar sebanyak 50.2 peratus kepada RM512.3 juta berbanding RM341.1 juta pada 2020.
“Hasil komitmen dan kesungguhan Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), LTAT dan semua spihak berkepentingan, kadar dividen LTAT untuk tahun 2021 adalah sebanyak 4.1 peratus,
“Waktu Pakatan Harapan (PH) dulu dividen rendah, sekarang tinggi semula di bawah kepimpinan Datuk Seri Hishammuddin Hussein,
“Insya-Allah dengan kepimpinan Datuk Seri Hishammuddin, tahun depan akan lebih tinggi lagi dividen,” katanya ketika berucap merasmikan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Kem Segamat, pada Ahad.
Sementara itu, LTAT menerusi satu hantaran di Facebook berkongsikan kadar dividen 2021 sebanyak 4.1 peratus dengan jumlah agihan dividen RM379.4 juta.
Tahun lalu, LTAT mengumumkan pembayaran dividen 3.5 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, meningkat daripada 2.5 peratus pada 2019.
Menurut LTAT, peningkatan pendapatan kasar untuk tahun 2021 telah menyumbang kepada pertumbuhan berganda bagi pendapatan bersih sebanyak 182.2 peratus kepada RM381.1 juta berbanding RM135.0 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
Manakala, Keuntungan Tertahan LTAT bagi tahun 2021 telah meningkat kepada RM672.6 juta berbanding RM193.2 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.-airtimes.my