Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PRN Johor: Rundingan MUDA-PKR gagal temui kata sepakat

PRN Johor: Rundingan MUDA-PKR gagal temui kata sepakat

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 Feb – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memberi gambaran rundingan kerjasama antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak mencapai kata sepakat setakat ini.

Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, selepas mengadakan beberapa siri rundingan rasmi bersama pimpinan parti berkenaan, PKR membuat keputusan untuk mengumumkan senarai calonnya di 20 kerusi sekali gus menamatkan rundingan rasmi bersama MUDA.

Walau bagaimanapun, Syed Saddiq menjelaskan, parti itu telah menyampaikan niat dan hasrat bagi mengelakkan sebarang pertindihan kerusi MUDA-PKR kepada rakan DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

“Kami juga bersedia untuk meneruskan rundingan bersama PKR,

“Jika tidak ada sebarang perkembangan dan perubahan keputusan dari pimpinan PKR berkaitan kerusi Muda-PKR, pimpinan MUDA akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan jalan ke hadapan pada hujung minggu ini,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

PKR Johor sebelum ini menawarkan 3 kerusi kepada parti tersebut untuk ditandingi pada pilihan raya 12 Mac itu nanti.

Manakala, AMANAH dan DAP sebelum ini memperuntukkan 6 kerusi kepada MUDA selepas beberapa rundingan rasmi sekali gus berjaya mengelakkan pertindihan kerusi.

Syed Saddiq turut menjelaskan, MUDA sebolehnya tidak mahu ada pertindihan kerusi dengan parti rakan dalam komponen Pakatan Harapan (PH) dan menyerahkan keputusan di tangan rakyat Johor.

“Sekiranya pertindihan kerusi antara MUDA-PKR tidak dapat dielakkan, MUDA akan serahkan keputusan di tangan rakyat Johor,” tegasnya.

Jelasnya, MUDA menyertai PRN Johor bertujuan untuk membawa perubahan yang baik kepada negeri itu dan Malaysia.
“Negeri Johor harus dipimpin oleh kepimpinan yang mengangkat politik dasar sebagai teras untuk pembangunan ekonomi kepada rakyat Johor,

“MUDA telah memberikan usaha dan komitmen berterusan untuk mengelakkan pertindihan kerusi dalam kalangan parti-parti pembangkang kerana fokus utama kami adalah membawa perubahan yang baik kepada Negeri Johor,” jelasnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply