Home PolitikPAS /PPBM / LAIN #Politik: DAP jadikan UMNO, AMANAH sebagai tentera ‘Gurkha’ tentang PAS – Abdul Hadi

#Politik: DAP jadikan UMNO, AMANAH sebagai tentera ‘Gurkha’ tentang PAS – Abdul Hadi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, DAP telah menjadikan UMNO dan Parti Amanah Negara (AMANAH) sebagai askar ‘Gurkha’ untuk melawan parti itu.

Jelasnya, DAP telah menggunakan cara penjajahan British dengan mempergunakan bangsa yang dijajah oleh Gurkha sebagai bala tentera barisan hadapan mereka untuk menentang pihak lawan.

Menurutnya, AMANAH telah diberikan tempat dalam Pakatan Harapan (PH) sehingga diletakkan sebagai calon bagi menentang PAS khususnya di kawasan campuran yang mempunyai pendukung DAP.

“Pemimpin AMANAH turut diberikan tempat dalam kabinet dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) setelah Pakatan Harapan (PH) berjaya menubuhkan kerajaan,” jelasnya menerusi Minda Presiden PAS yang dimuat naik di halaman Facebooknya, hari ini.

Abdul Hadi berkata, bukti Amanah menjadi Gurkha DAP apabila calon parti itu mendapat undi hampir 100 peratus daripada kalangan penyokong DAP dan sedikit undi tambahan daripada orang Melayu yang ‘pening akalnya’ atau yang dapat dibeli.

AMANAH juga dakwa, menjadi jurucakap DAP bagi menyerang PAS dan bersama parti itu bagi menentang pindaan terhadap Rang Undang-undang 355 (RUU 355).

“AMANAH cukup berjasa kepada DAP, sehingga sanggup menjadi benteng pertahanannya yang tidak perlu diarah kerana berjaya mendapat tarbiah yang mencapai tahap wala’ kepada DAP, laksana askar Gurkha dalam tentera British,

“Adapun mereka memakai unifom berceloreng Islam dan Melayu walaupun terkoyak lusuh bagi menjimatkan belanja,

“Malah, mereka menggunakan senjata tiruan yang berjenama Islam. Antaranya dengan menunjukkan amar ma‘ruf dan nahi munkar yang sangat nyata koyaknya,” jelasnya lagi.

Ahli Parlimen Marang itu turut mendakwa, UMNO telah terkeluar daripada dasar dan landasan asal perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air sehingga ramai yang keluar menyelamatkan diri dari daripada kapal UMNO yang sedang bocor.

Jelasnya, ada dalam kalangan UMNO kini menjadi tentera pelatih Gurkha sehingga meletakkan ‘kedua-dua belah kaki’ untuk bersama DAP dan PKR dengan penuh wala’.

“Kenyataan beberapa pemimpin tertinggi UMNO yang cuba mempertahankan DAP telah menunjukkan berlakunya proses latihan (eksesais) untuk menjadikan UMNO sebagai anggota baharu dalam pasukan Gurkha DAP,

“Sehinggakan, pemimpin itu terpaksa melakukan kempen betapa perlunya UMNO bersama DAP dengan alasan parti itu telah menerima Islam dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk hak istimewa bangsa Melayu dan bumiputera,” kata Abdul Hadi.

Dalam masa yang sama, Abdul Hadi menegaskan, PAS tidak akan membiarkan tindakan melampau diteruskan bersama-sama NGO Islam dan Raja-Raja yang bertanggungjawab di hadapan Allah apabila dilantik menjadi ketua agama. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply