Home Semasa #Semasa: PRK Pelangai 7 Oktober ini – SPR

#Semasa: PRK Pelangai 7 Oktober ini – SPR

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Pahang pada 7 Oktober ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi kerusi berkenaan ialah masing-masing pada 23 September dan 3 Oktober 2023.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR, di Putrajaya bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan PRK berkenaan.

Mesyuarat itu diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi DUN berkenaan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun pada 17 Ogos lalu.

Allahyarham, 53, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang merupakan antara 10 mangsa nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.

Pesawat malang itu sedang dalam perjalanan dari Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.50 petang.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Allahyarham menang kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada PEJUANG (65 undi). -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply