Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: Malaysia, Australia kukuh kerjasama pertahanan kedua-dua negara

#Pertahanan: Malaysia, Australia kukuh kerjasama pertahanan kedua-dua negara

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Malaysia dan Australia terus mengukuhkan lagi komitmen kerjasama berpandukan Malaysia-Australia Joint Defence Program (MAJDP).

Perkara tersebut dicapai dalam pertemuan antara Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia Richard Marles di Kementerian Pertahanan, hari ini.

Menerusi satu kenyataan hari ini, kedua-dua pemimpin terbabit memperakukan keutuhan kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Australia, yang berasaskan sejarah, keyakinan, dan saling menghormati, yang diterjemahkan menerusi Kerjasama Strategik Komprehensif.

“Richard Marles menyatakan penghargaan kepada Malaysia kerana kekal menjadi hos kepada Angkatan Tentera Australia di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia di Butterworth,

“Kedua-dua pihak juga mengiktiraf kepentingan Rifle Company Butterworth di mana penugasan berterusan mereka telah meningkatkan kebolehoperasian antara kedua-dua angkatan Tentera,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, Mohamad Hasan turut menyampaikan penghargaan kepada Australia kerana menyokong projek penaiktarafan infrastruktur Pangkalan Udara Butterworth.

“Kedua-dua Menteri turut mengalu-alukan kemajuan projek penaiktarafan yang signifikan di pangkalan udara berkenaan,

“Mohamad Hasan dan Marles juga turut mengesahkan kepentingan Operasi Gateway yang menyumbang ke arah keselamatan dan kestabilan serantau secara berterusan,

“Mereka berdua berkongsi pandangan sama berkaitan kepentingan meningkatkan kesedaran domain maritim (maritime domain awareness) menerusi pembangunan keupayaan dan kebolehoperasian antara kedua-dua angkatan tentera,” tambah kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin itu juga menyatakan komitmen mereka terhadap Peraturan Pertahanan Lima Negara, atau Five Powers Defence Arrangements (FPDA) yang kekal sebagai tonggak keselamatan di rantau ini.

“Berpandukan prinsip aturan ini, semua inisiatif masa hadapan akan menyatukan dan memperkukuhkan negara-negara ahli FPDA, dan maju bersama pada kadar yang disenangi oleh kesemua negara ahli,” tambah mereka. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply