Home Pertahanan dan Keselamatan #Keselamatan: Polis rampas syabu RM520,000, tahan wanita Thailand dalang sindiket

#Keselamatan: Polis rampas syabu RM520,000, tahan wanita Thailand dalang sindiket

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah didalangi seorang wanita Thailand apabila merampas 16 kilogram (kg) syabu yang dianggarkan bernilai RM520,000.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya juga telah menahan 4 individu, termasuk seorang lelaki tempatan dalam 3 serbuan berasingan di sekitar ibu negara pada Jumaat lalu.

Beliau berkata, 4 individu terbabit yang berumur 23 hingga 30 tahun itu terdiri daripada 3 warga Thailand, iaitu sepasang suami isteri serta seorang wanita dan seorang lelaki tempatan.

Menurutnya, sindiket pengedaran dadah itu dikesan bergerak aktif sejak 2 bulan lepas di sekitar ibu negara dan modus operandi mereka adalah menjadikan kereta sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diserahkan kepada pembeli.

“Serbuan pertama dilakukan di tepi jalan Taman Pertama, Cheras dengan menahan sepasang suami isteri warganegara Thailand dan seorang lelaki tempatan. Hasil siasatan awal, mereka tiada rekod jenayah lampau tetapi positif dadah, hasil ujian saringan air kencing,

“Polis melakukan serbuan kedua di parkir Solaris Dutamas dan menjumpai 15 bungkusan (16kg) dadah dipercayai syabu di dalam sebuah kereta. Seterusnya, polis menahan seorang lagi suspek, iaitu wanita Thailand dipercayai perancang utama sindiket ini di lobi sebuah residensi di Taman Kobena, Cheras,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau menjelaskan, dadah tersebut mampu menampung penggunaan 30,000 penagih dadah dan sebuah kenderaan dianggarkan bernilai RM20,000 turut dirampas.

Allaudeen memaklumkan, semua suspek direman 7 hari hingga 24 Ogos ini bagi siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam masa yang sama, beliau berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat kepada polis agar kegiatan jenayah dan dadah di ibu kota dapat diambil tindakan sewajarnya bagi memastikan Kuala Lumpur bandar raya selamat.

“Semua maklumat berkaitan dadah boleh disalurkan melalui hotline JSJN menerusi aplikasi WhatsApp di talian 012 2087222 (24 jam),” ujarnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply