KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digesa meletakkan jawatan susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di 6 negeri, semalam.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Seri Muhyiddin Yassin berpendapat Barisan Nasional (BN) sudah tidak lagi relevan dalam politik negara ini apabila hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandinginya.
Tegasnya, UMNO sudah kalah teruk apabila 82 peratus calonnya kalah.
“Ini membuktikan penolakan besar-besaran pengundi Melayu dan bukan Melayu terhadap gabungan politik rapuh dan perpaduan palsu diterajui Anwar Ibrahim dan (Ahmad) Zahid Hamidi,
“Maka benarlah PRN ini merupakan referendum penolakan rakyat terhadap kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN,
“Anwar dan Zahid yang menerajui kerajaan mesti mengambil tanggungjawab moral dengan meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri dengan serta-merta,” katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan di Shah Alam, malam tadi.
PRN 6 negeri semalam menyaksikan kemaraan Perikatan Nasional (PN) di negeri-negeri yang dikuasai PH, dengan 11 kerusi di Pulau Pinang, 22 kerusi di Selangor dan 5 di Negeri Sembilan.
Ini meskipun status quo kekal di semua 6 negeri.
UMNO, parti Melayu yang menjadi tunjang BN tewas semua kerusi di Terengganu dan hanya memenangi 1 kerusi masing-masing di Kelantan dan Pulau Pinang, 2 di Selangor dan 10 di Negeri Sembilan.
Seramai 146 calon PN berjaya menang daripada keseluruhan 245 kerusi.
Pada masa sama PN pula kata bekas Perdana Menteri itu memenangi 146 daripada 245 atau 60 peratus daripada kerusi yang ditandinginya.
PN pula kata Muhyiddin memenangi banyak kerusi majoriti Melayu seperti yang dilakukan di Pulau Pinang dan Selangor, selain di Kedah, Kelantan serta Terengganu. -airtimes.my