Home PolitikPAS /PPBM / LAIN #Politik: Kad Nismilan Prihatin, bantuan kepada mahasiswa antara tawaran PN Negeri Sembilan

#Politik: Kad Nismilan Prihatin, bantuan kepada mahasiswa antara tawaran PN Negeri Sembilan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Pengenalan Kad Nismilan Prihatin dan Subsidi lesen motosikal kelas B2 sebanyak RM300 antara tawaran Perikatan Nasional (PN) buat rakyat Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

PN juga memperkenalkan Skim Siswa Nismilan (SSN), bantuan awal pengajian RM1,200 untuk anak Negeri Sembilan yang akan mendaftar masuk ke institusi pengajian tinggi (IPT) dan Institut Pendidikan Guru (IPG).

Selain itu, bantuan one-off berjumlah RM850 kepada pelajar baharu diploma dan RM600 kepada pelajar baharu sijil atau matrikulasi buat anak tempatan yang memerlukan turut ditawarkan.

Semua tawaran itu diumumkan Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika melancarkan 8 Tawaran PN Negeri Sembilan menerusi siaran langsung di Facebook pada Sabtu.

Ahmad Faizal berkata, inisiatif berkenaan merupakan antara 8 tawaran yang akan dilaksanakan sekiranya diberi mandat oleh rakyat negeri itu pada pilihan raya negeri (PRN) minggu depan.

“Inisiatif Nismilan Mudo akan diwujudkan bagi menyediakan latihan perniagaan digital kepada bakal usahawan muda dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1 juta setahun,

“Kita juga memperuntukan sebanyak RM2 juta untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran termasuk aspek pendidikan pendigitalan di Sekolah Agama Rakyat yang berdaftar di Negeri Sembilan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal menambah, peruntukkan sejumlah RM5 juta juga akan disalurkan sebagai usaha merancakkan sektor pelancongan di negeri tersebut.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif digariskan bagi memastikan Negeri Sembilan menjadi destinasi tarikan pelancong domestik dan antarabangsa selain membangunkan ‘river cruise’ di Sungai Linggi dan Rembau.

Selain itu katanya, PN akan mewujudkan geran Prihatin Orang Kelainan Upaya (OKU) Nismilan sebanyak RM3,000 kepada golongan berkenaan yang berdaftar dan layak untuk mengikuti latihan atau kursus tambahan sebelum memulakan perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Kita akan menambahbaik infrastuktur awam ke arah menjadikan negeri ini yang mesra OKU dalam tempoh lima tahun selain meningkatkan akses pendiidkan mereka melalui peruntukan biasiswa khusus.

“PN akan menubuhkan jawatankuasa khas dianggotai pakar dalam pelbagai bidang untuk memantau sekali gus memastikan tawaran PN dapat dilaksana sepenuhnya,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply