Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: Malaysia, Turkiye bakal adakan memorandum persefahaman bersama

#Pertahanan: Malaysia, Turkiye bakal adakan memorandum persefahaman bersama

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, bahawa Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan akan berkunjung ke Malaysia dalam masa terdekat.

Anwar berkata demikian selepas mengadakan pertemuan secara maya dengan Presiden Turkiye itu malam tadi.

Menurutnya, Erdogan telah menyatakan komitmen jelas berhubung kunjungan itu bagi memenuhi undangannya untuk memperkukuh lagi hubungan kedua-dua negara.

“Saya dan Presiden Erdogan turut bersetuju untuk bersemuka semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York bulan depan,” katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik menerusi laman Facebooknya pada Ahad.

Turut hadir pada sesi pertemuan tersebut ialah Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dalam sesi pertemuan itu, Anwar berkata, beliau dan Erdogan membincangkan tentang kerjasama pertahanan, dengan Agensi Industri Pertahanan Turkiye (SSB) telah menghantar delegasi yang besar untuk menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2023) pada Mei lepas.

Perdana Menteri menzahirkan rasa kagum dengan kemajuan teknologi pertahanan Turkiye dan yakin Malaysia bakal mendapat manfaat besar hasil kerjasama erat antara Malaysia dengan Turkiye.

“Sayugia saya bersetuju secara prinsip untuk memuktamadkan Memorandum Persefahaman dalam kerjasama pertahanan pada masa yang terdekat,” jelasnya lagi.

Selain itu, Anwar berkata, beliau turut menyatakan pendirian tegas Kerajaan Perpaduan yang menolak sebarang unsur keganasan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam keganasan di negara ini.

Beliau juga memaklumkan kepada Erdogan mengenai usaha Malaysia dalam menentang Islamofobia (permusuhan dan benci ke atas Islam) susulan tindakan membakar al-Quran di Sweden dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan itu yang berlindung di sebalik hak kebebasan bersuara yang diagungkan oleh barat.

“Lantaran itu, Malaysia menzahirkan komitmen untuk menyumbang satu juta naskhah al-Quran di seluruh dunia termasuk 15,000 naskhah dengan terjemahan dalam bahasa Sweden sebagai satu daripada usaha untuk menangani kedangkalan pemahaman barat terhadap Islam,” katanya.

Beliau berkata dalam sesi itu juga, Erdogan sempat mendoakan kejayaan gabungan perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply