Home PolitikPAS /PPBM / LAIN #Politik: Ahli, penyokong PAS perlu terima Dominic dengan hati terbuka – Takiyuddin

#Politik: Ahli, penyokong PAS perlu terima Dominic dengan hati terbuka – Takiyuddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – PAS mengeluarkan permohonan maaf kepada parti rakan gabungan Perikatan Nasional (PN) susulan insiden yang membabitkan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dr Dominic Lau yang didakwa ‘dihalau’ dari ceramah parti itu di Tasek Gelugor di Pulau Pinang baru-baru ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, walaupun Dominic kemudiannya dilaporkan menolak dakwaan tersebut, namun pihak kepimpinan PAS Pusat percaya kehadiran beliau perlu diterima dan dihargai sebagai tetamu berdasarkan akhlak serta prinsip-prinsip Islam.

Menurutnya, GERAKAN juga merupakan rakan gabungan dalam PN dan beliau sendiri merupakan calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung sewajarnya diberikan penghormatan yang layak dan munasabah.

Justeru katanya, PAS Pusat berpendapat Lau wajar diberikan penghormatan yang layak dan munasabah oleh ahli parti terbabit di Pulau Pinang.

“Dalam suasana politik semasa yang dicemari oleh naratif cauvinis dan melampau, maka sebagai sebuah Parti Islam, tertua dan besar, PAS percaya kita bertanggungjawab bukan sahaja untuk menunjuk arah kepada politik matang dan sederhana, malah turut bertanggungjawab untuk memberi pertolongan dan perlindungan kepada pihak-pihak yang memerlukannya,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.

Dalam kenyataan yang sama, Takiyuddin turut menjelaskan PAS tidak terlepas untuk cenderung menimbulkan rasa tidak puas hati, kecewa dan sebagainya, terutamanya dalam isu-isu berkaitan pembahagian kerusi atau pemilihan calon bagi sesuatu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen.

“Dalam konteks pemilihan Dr. Dominic sebagai calon PN bagi kerusi DUN Bayan Lepas yang merupakan sebuah kerusi majoriti Melayu, PAS amat sedar berhubung sentimen dalam kalangan ahli dan penyokong di peringkat tempatan susulan pencalonan beliau,

“Namun PAS juga percaya, apabila keputusan mengenainya dibuat dengan persetujuan kepimpinan tertinggi parti setelah melalui semua proses dan melepasi syarat yang ditetapkan, maka ahli dan penyokong perlu menerimanya dengan hati terbuka selain meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan parti yang diketuai oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri,” tambahnya lagi.

Justeru itu, beliau menyeru ahli-ahli PAS berkaitan supaya menyedari bahawa bantahan berterusan dan tindak-tanduk yang berlawanan dengan kepentingan parti bukan sahaja berkemungkinan menimbulkan suasana tidak harmoni dalam gabungan PN, malah turut mencabar dan mempersoalkan kebijaksanaan serta ketepatan keputusan Tan Sri Presiden PAS sendiri.

Sebelum ini, media melaporkan Dominic yang juga Timbalan Presiden PN didakwa dihalang untuk hadir Ceramah Mega PN Best di Sungai Dua.

Ceramah mega itu menampilkan Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Pengerusi Perhubungan Bersatu Pulau Pinang merangkap calon PN DUN Penanti, Zulkifli Bakar.

Dilaporkan, Pengerusi PN Pulau Pinang itu diminta untuk meninggalkan majlis kerana dikatakan tidak diundang untuk menyertai program berkenaan.

Bagaimanapun, Dominic menjelaskan, beliau ke ceramah itu untuk berjumpa dengan Presiden PAS, namun tidak sempat kerana ceramah sudah bermula. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply