Home Semasa Bantuan Wang Ihsan mangsa banjir dibayar mulai hari ini – Ketua Setiausaha Negara

Bantuan Wang Ihsan mangsa banjir dibayar mulai hari ini – Ketua Setiausaha Negara

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Dis – Pembayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 akan disalurkan terus kepada ketua keluarga isi rumah (KIR) yang terjejas akibat bencana banjir bermula hari ini.

Pengerusi Pasukan Petugas Khas Pengurusan Pasca Banjir, Tan Sri Mohd Zuki Ali menjelaskan, bantuan itu telah disalurkan kepada kerajaan negeri dan akan diselaraskan di peringkat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“BWI sebanyak RM1,000 kepada KIR dan RM10,000 kepada waris mangsa bencana yang meninggal dunia telah disalurkan kepada pihak negeri,

“Penyaluran BWI dilaksanakan melalui 3 kaedah iaitu sama ada serahan tunai di PKOB atau serahan tunai rumah ke rumah atau pemindahan tunai secara atas talian (EFT),

“Kaedah ini dilaksanakan untuk mempermudah urusan penyaluran BWI kepada mangsa dengan lebih efektif dan pantas dengan hanya pengesahan oleh Ketua Komuniti yang dipertanggungjawabkantanpa perlu mengisi sebarang borang permohonan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan pada mesyuarat pertama Petugas Khas Pengurusan Pasca banjir dan Kesiapsiagaan Menghadapi Gelombang Kedua Banjir hari ini.

Menurutnya, sehingga semalam, kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM34 juta untuk untuk disalurkan kepada 34,000 KIR di negeri-negeri yang terjejas banjir dan mula dibayar pada hari ini.

“Jumlah anggaran itu adalah berdasarkan maklumat KIR yang berdaftar di Pusat Penempatan Sementara (PPS),

“Usaha mengenalpasti mangsa yang tidak berdaftar sedang giat dilaksanakan oleh PKOB dan ICU untuk memastikan BWI dapat disalurkan dengan segera,” tambahnya.

Sementara itu, mengulas mengenai pembersihan pasca banjir, Zuki menjelaskan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengatur gerak sinergi aset-aset kerajaan dan keperluan aset daripada pihak swasta, NGO serta individu bagi pengurusan pembersihan tersebut.

“Usaha ini dibantu secara langsung oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) khususnya menerusi penyediaan stesen pemindahan sisa pepejal sementara yang dikenalpasti di kawasan terdekat dengan kawasan terjejas banjir secara transit,

“Manakala, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantu memastikan kelancaran laluan jentera pembersihan untuk mempercepatkan penghantaran sisa pepejal pembersihan ke stesen yang ditetapkan,” ujarnya.

Selain itu, beliau menegaskan, setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan akan menerima kawasan terjejas banjir untuk dijadikan kawasan angkat.

“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyelaras pembahagian kawasan angkat terjejas banjir kepada semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan,

“Dan, JPA turut menyelaraskan usaha mobilisasi anggota Perkhidmatan Awam bagi membantu kerja-kerja pembersihan dan kemanusiaan,” jelasnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply