Home Teknologi Pertahanan USS Tulsa, kapal LCS berkelajuan tinggi Tentera Laut Amerika Syarikat

USS Tulsa, kapal LCS berkelajuan tinggi Tentera Laut Amerika Syarikat

by M.Daim

Baru-baru ini, Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sedang melaksanakan latihan bilateral bersama di Selat Melaka. Latihan ini dinamakan Maritime Training Activity (MTA) Malaysia 2021.

MTA Malaysia 2021 merupakan salah satu jujukan latihan bersama antara kedua-dua angkatan laut bagi meningkatkan daya saling operasi dalam mendukung keselamatan dan kestabilan perairan.

Latihan selama 8 hari ini mula dilancarkan pada 23 November lalu.

Dalam latihan ini, Amerika Syarikat telah menghantar pelbagai aset termasuk kapal tempur pesisir (Littoral Combat Ship, LCS), USS TULSA (LCS-16).

Kapal LCS Tentera Laut Amerika Syarikat, USS TULSA (hadapan) sedang melakukan pelayaran bersama dengan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia, KD LEKIU dan KD LEKIR di Selat Melaka semasa latihan bersama Maritime Training Activity (MTA) Malaysia 2021. Foto: US Navy/Specialist 1st Class Devin M. Langer

USS Tulsa merupakan salah satu daripada 12 buah kapal LCS kelas INDEPENDENCE yang dioperasikan oleh US Navy. Angkatan laut negara kuasa besar itu turut mempunyai satu lagi kapal kelas LCS iaitu FREEDOM.

Namun, kedua-dua kelas ini mempunyai banyak perbezaan. Secara asasnya, kapal kelas Independence dibina oleh Austal dan General Dynamics. Sementara Lockheed Martin dan anak syarikat Fincantieri, Marinette Marine menghasilkan kapal kelas Freedom.

USS Tulsa dan kapal-kapal lain dalam kelas Independence direka untuk beroperasi kelajuan tinggi iaitu 41 knot (81 kilometer sejam) dengan menggunakan rekaan badan kapal trimaran.

Sehingga kini, sebanyak 13 buah kapal ini telah beroperasi manakala 6 buah lagi sedang dibina di AS.

Reka bentuk

Reka bentuk kapal kelas Independence adalah berdasarkan kapal feri kelajuan tinggi keluaran syarikat Austal, HSC Benchijigua Express. Kapal ini menggunakan konsep rekaan trimaran bagi memastikan ianya berupaya untuk mencapai kelajuan tinggi dan stabil.

Selain daripada itu, badan kapal ini menggunakan aluminium sebagai bahan binaan utama.

Kapal ini mempunyai panjang 127 meter, lebar 32m dan draf setinggi 4.3m. Kapal ini ditujah oleh oleh gas turbin General Electric LM2500 dan enjin diesel MTU Friedrichshafen 20V 8000 Series. Ia turut dilengkapi dengan sistem jet air keluaran Wartsila.

Reka bentuk trimaran dan badan kapal yang diperbuat dari aluminium membolehkan kapal USS Tulsa berlayar pada kelajuan tinggi iaitu 41 knot. Foto: US Navy/Mass Communication Specialist 1st Class Devin M. Langer

Kapal ini mampu untuk berlayar sejauh 4,300 batu nautika (7,964 km) pada kelajuan 18 knot (33 km/j).

Kapal ini juga direka sebagai modular bagi membolehkan pemasangan kelengkapan mengikut misi yang telah ditetapkan.

Persenjataan

Kapal LCS kelas Independence menggunakan 57mm Mk 110 keluaran BAE Systems sebagai meriam utama kapal.

Selain daripada itu, ia dilengkapi dengan SeaRAM CIWS (Close-In Weapon Systems) bagi mengekang ancaman peluru berpandu, pesawat terbang rendah dan juga bot. Tulsa turut dilengkapi dengan sistem pertahanan misil Raytheon RIM-116B SeaRAM.

Naval Strike Missile (NSM) merupakan antara taring utama kapal LCS kelas Independence dalam menghadapi ancaman permukaan. Foto: US Navy/Chief Mass Communication Specialist Shannon Renfroe

 

Selain daripada itu, ia turut dilengkapi dengan mesingan .50 kaliber dengan 2 di bahagian hadapan dan 2 laras di bahagian belakang kapal.

Sekiranya dilengkapi dengan modul peperangan permukaan (Surface Warfare, SUW Module), kapal ini akan dilengkapi dengan 2 laras meriam 30mm Mk44 Bushamaster II.

Mesingan berat 50 kaliber M2 merupakan senjata sokongan yang dioperasikan pada USS Tulsa. Foto: US Navy/Mass Communication Specialist 1st Class Devin M. Langer)

Kapal ini turut dilengkapi dengan 24 peluru berpandu AGM-114L Hellfire.

Unit organik udara kapal USS Tulsa adalah terdiri daripada helikopter MH-60R/S Seahawk dan sistem pesawat tanpa pemandu MQ-8 Fire Scout.

Pengoperasian kapal kelas Independence di Laut China Selatan

Kehadiran kapal LCS kelas ini bukanlah sesuatu yang baharu di rantau ini. Ini terbukti dengan melihat paparan media umum mengenai penglibatan US Navy dalam melaksanakan operasinya di Laut China Selatan.

Sebagai contoh, Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2017 menyaksikan kehadiran kapal  USS CORONADO (LCS-4) dalam segmen maritim.

Salah sebuah kapal LCS kelas Independence, USS GABRIELLE GIFFORDS (LCS 10) melakukan pelayaran berhampiran kapal gerudi WEST CAPELLA pada 12 Mei 2020.
Foto: US Navy/Mass Communication Specialist 2nd Class Brenton Poyser)

USS MONTGOMERY (LCS 8) dan USS GABRIELLE GIFFORDS (LCS 10) dilaporkan beroperasi di Laut China Selatan  pada awal tahun 2020.

USS Gabrielle Giffords dilaporkan turut beroperasi berhampiran kapal gerudi minyak, WEST CAPELLA pada Mei 2020. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply