Home PolitikPakatan Harapan Kerajaan GPS gagal, harga sayur naik mendadak di Sarawak

Kerajaan GPS gagal, harga sayur naik mendadak di Sarawak

by Nurulhuda

SIBUTI, 29 Nov – Kegagalan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Perikatan Nasional (PN) mengawal harga sayur di negeri itu ketika rakyat mula membina ekonomi dan perniagaan dalam usaha bangkit daripada pandemik wabak COVID-19 amat mengecewakan.

Ketua Wanita PKR Sarawak, Zulhaidah Suboh berkata, kenaikan harga sayuran berkenaan adalah yang paling tinggi dalam tempoh 30 tahun dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

Beliau berkata, kejadian sebegini adalah tanda aras terhadap kegagalan kerajaan yang dilihat masih tidak berupaya mengendalikan urus tadbir dengan baik.

“Baru-baru ini saya telah mendengar rintihan peniaga berkaitan kenaikan harga sayur-sayuran secara mendadak. Isu tersebut telah memberi kesan kepada peniaga yang terpaksa menjual mahal dan memborong dengan harga tinggi,

“Ia juga memberi kesan mendadak kepada keluarga di seluruh Sarawak umumnya dan penduduk
Sibuti khususnya,

“Kerajaan GPS tidak prihatin dan gagal dalam tanggung jawab untuk menjaga kebajikan rakyat terutamanya dalam memastikan semua keluarga Sarawak mampu memperolehi makanan yang sihat dan seimbang,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zulhaidah yang juga Ahli Parlimen Lambir berkata, keadaan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada keluarga di seluruh negeri, apatah lagi saat kesengsaraan ekonomi masih terasa akibat pandemik COVID-19.

“Pada waktu kesengsaraan ekonomi masih terasa, rakyat kini terpaksa menghadapai cabaran kenaikan harga barangan,

“Kenaikan harga sayuran tempatan mencapai 20 hingga 30 peratus adalah tindakan yang menekan rakyat secara langsung,

“Jika situasi ini berterusan, ia sangat memberi kesan kepada semua golongan khasnya 40 dan B40 kecuali golongan ‘kayangan’,

“Yang tidak terkesan hanyalah kumpulan kayangan dan pemerintah elit dengan kehidupan serba mewah serta penuh selesa,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Menteri Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, merujuk semula 5 strategi yang tertera di laman portal rasmi kementerian berkenaan demi kebaikan rakyat.

“Ini demi kebaikan rakyat dan Malaysia yang lebih efisyen. Sebagai sebuah kerajaan bertanggung jawab menjaga kebajikan rakyat, KPDNHEP harus prihatin dan peka terhadap permasalahan akar umbi,

“Mereka perlu mengambil tindakan segera untuk mengawal harga barang makanan dan sayuran,”ujarnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply